Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 19, 2012

PAS Tersungkur Di Selangor


UMAT Islam di Selangor, apatah lagi para penyokong dan pengikut tegar Pas tentu sekali'terbeliak biji mata' dengan perkembangan politik mutakhir di negeri itu.

Pada masa sama, mereka tertanya-tanya apakah Pas masih relevan lagi untuk mengusung 'nama' Parti Islam SeMalaysia setelah diketepikan begitu sahaja oleh PKR yang 'merampas' portfolio Hal Ehwal Agama negeri daripada parti itu.

Kalau mengikut nada Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman, nampaknya dia tidak kisah sangat dan tidak menganggap Pas dipinggirkan.

Tetapi dari skop yang lebih besar, umat Islam di seluruh negara, apa lagi Selangor melihat Pas dari hari ke hari semakin hilang taringnya dalam memperjuangkan isu-isu yang bersangkut paut dengan Islam. Di Selangor dan Pulau Pinang, Pas dilihat seolah-olah 'melukut di tepi gantang' dengan acap kali terpaksa tunduk kepada sekutunya, PKR dan DAP.

Menerajui portfolio agama di negeri sememangnya merupakan suatu tanggungjawab cukup besar. Ya, betul di beberapa negeri, portfolio Hal Ehwal Agama ada yang diterajui menteri besar. Namun di Selangor, isunya agak berbeza sedikit.

Ini kerana kedudukan Exco agamanya telah dirobek gara-gara komitmen dan sikap berpegang teguh kepada soal hukum-hakam oleh Datuk Dr. Hasan Ali dalam memperjuangkan isu-isu Islam.

Sememangnya, kalau hendak dikira, adalah wajar Hasan berperilaku sedemikian sebab ia memegang amanah nama Parti Islam SeMalaysia. Tetapi tidak disangka-sangka, usahanya itu hanya sia-sia belaka dan tidak digemari kepimpinan Pas Pusat.

Mungkinkah telahan umat Islam nanti akan melihat Abdul Khalid hanya sekadar 'boneka' kepada pihak lain dalam memegang portfolio agama nanti? Ini berdasarkan rekod pentadbirannya apabila bercakap dan bertindak dalam menangani kemelut isu-isu Islam di Selangor sebelum ini.


Umum pastinya tidak akan lupa apabila Abdul Khalid membuat kenyataan bahawa kerajaan negerinya tidak akan mengikut pelaksanaan undang-undang untuk minuman keras yang dicadangkan oleh Pas. Sebaliknya pihak beliau tetap dengan pendirian bahawa kawalan hanya akan dibuat oleh pengusaha & premis kedai itu sendiri.

Suatu ketika juga, kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid ini mencadangkan sebahagian wang kutipan zakat digunakan untuk membangunkan negeri itu kerana mendakwa Kerajaan Pusat enggan mengagihkan peruntukan kepada negeri yang dikuasai pembangkang.

Tetapi mujurlah atas keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah melarang wang kutipan zakat diambil, dipinjam atau disalurkan untuk tujuan lain selain membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri itu.

Malahan, baginda turut mengingatkan pihak tidak berkaitan atau pihak luar daripada pentadbiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak campur tangan dalam pengurusan zakat negeri itu.

Pengalaman pahit Pas dalam isu Exco agama di Selangor semalam, seakan-akan mengulangi rekodnya di Pulau Pinang dua tahun lalu apabila portfolio agama yang diimpikannya terlepas kepada PKR.

Pas sebenarnya tidak ada apa di Selangor. Dan tambah malang dan menyedihkan lagi, Pas langsung tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan ahlinya seperti Hasan yang memperjuangkan ideologi perjuangan parti itu untuk kesejahteraan ummah.

0 comments:

share2