Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 29, 2012

Islam Perlu Bangkit Di Malaysia

KUASA ketiga dalam landskap politik Malaysia, begitulah tajuk program Soal Jawab di TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Berita Media Prima, Datuk Ahmad Talib pada 25 Januari lalu. Panel penjawab ialah Datuk Hasan Ali yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana namanya saban hari menjadi sebutan media lama dan alternatif.

Seorang lagi anggota panel ialah Datuk Aidid Ghazali, mantan felo kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Ketua In Mind, badan pemikir kerajaan negeri Selangor dulu. Beliau kini adalah perunding dalam pengurusan Islam.

Walaupun perbincangan lebih berkisar kepada soal pemecatan Hasan daripada Pas dan jawatan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, tajuk 'kuasa ketiga' telah dilontarkan sebagai pencetus pemikiran serius bagi mereka yang menonton program itu.

Namun tidak pula dikupas dengan terperinci identiti kuasa ketiga itu dengan jelas. Seolah-olah baru nampak ekor sahaja, dan kita diminta menunggu bila kepala dan seluruh badan akan muncul. Yang lebih disebut oleh Hasan dan Aidid ialah kuasa ketiga itu kelak akan berpaksikan perjuangan untuk mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan Raja-raja atau kependekannya IMR, sama dengan akronim Institute of Medical Research Malaysia.

Turut disebut bahawa para pemimpin kuasa ketiga itu kelak adalah orang-orang Islam yang mempunyai akhlak yang baik supaya kuasa ketiga itu kelak dipandang dengan penuh integriti oleh rakyat.

Oleh kerana tidak banyak pendedahan yang dibuat tentang kuasa ketiga melalui program Soal Jawab itu, hamba terpaksa membuat andaian lanjut tersendiri mengenainya. Ia sesuatu yang patut difikirkan dengan serius oleh orang Islam, khususnya orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Konsep kuasa ketiga atau dalam bahasa Inggeris dipanggil third force, bukanlah sesuatu yang sangat baru di Malaysia. Apabila disebut kuasa ketiga, bermakna ada kuasa pertama dan kedua. Yang dimaksudkan kuasa pertama ialah kerajaan yang memerintah dan kuasa kedua ialah pihak pembangkang yang sentiasa berusaha untuk menjadi kuasa pertama.

Kuasa ketiga merujuk kepada pihak lain yang boleh mempengaruhi pemikiran dan pendirian politik rakyat, tanpa menyekutukan dirinya dengan kuasa pertama dan kuasa kedua. Di beberapa negara demokrasi Barat telah wujud kuasa ketiga yang dilihat sebagai perkembangan yang sihat dalam kerangka demokrasi.

Di Malaysia juga secara teorinya juga sudah wujud kuasa ketiga pada zaman pra Pilihan Raya 2004 dan 2008. Mereka terdiri daripada NGO-NGO yang digembleng untuk menyokong perjuangan pembangkang. Pada zahirnya badan-badan itu seolah-olah bebas, tetapi hakikatnya tidak. Mereka menentang kerajaan dan menyokong pembangkang. Peranan mereka turut memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya 2008.

Namun kegiatan mereka ini telah disedari dan dikhuatiri oleh pihak-pihak yang bersimpati dengan kerajaan. Lalu muncul beberapa NGO baru yang menyokong kerajaan dan menentang pembangkang. Akhirnya, apa yang wujud bukanlah benar-benar kuasa ketiga yang ideal untuk penyuburan demokrasi. Disebabkan pendirian mereka yang terlalu pro kepada kerajaan atau pembangkang, maka peranan kuasa ketiga yang ideal itu sebenarnya belum wujud lagi di Malaysia.

Maka kita tertunggu-tunggu apakah kuasa ketiga yang disebut dalam program Soal Jawab itu benar-benar bakal merupakan kuasa ketiga yang bebas daripada pengaruh kerajaan dan pembangkang. Senang cakap, tidak memihak kepada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Mereka hanya berpihak kepada kebenaran. Siapa yang benar akan disokong dan yang tidak benar akan ditentang.

kegawatan

Kuasa ketiga yang dibayangkan ialah satu kumpulan orang-orang yang amat insaf terhadap kegawatan dan kecelaruan yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia sekarang, khususnya orang-orang Melayu yang menjadi tonggaknya. Juga kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam yang turut tercabar. Segala status-quo yang mampan sekian lama kini semakin menjadi mangsa kepada percaturan, kerakusan dan pergelutan politik.

Isu murtad, penggunaan kalimah Allah, kitab Bible dalam Bahasa Melayu, pemimpin bukan Islam mempersenda ayat-ayat Quran, pemimpin wanita bukan Islam tampil di rumah-rumah ibadat Islam untuk berceramah dengan berpakaian tidak menutup aurat, adalah antara perkara yang sungguh merisaukan orang-orang Melayu yang beriman dan mempunyai kesedaran tentang ancaman terhadap agama yang Allah redai ini.

Bagi mereka, parti-parti politik yang ada sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menyelesaikan isu-isu ini kerana masing-masing sudah menjual diri kepada bukan Islam demi mendapatkan undi untuk merebut kuasa politik. Tanggung jawab menegakkan dan mempertahankan agama tidak lagi menjadi perjuangan 'kerana Allah,' sebaliknya hanyalah wadah percaturan untuk mendapat kuasa politik di dunia. Soal akhirat sudah menjadi perhitungan kedua, malah mungkin ketiga.

Mereka ini mulai khuatir kalau-kalau umat Islam kini akan terjadi seperti yang Rasulullah SAW pernah sebutkan: ''Daripada Abu Sa'id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : "Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?" Nabi SAW menjawab : "Siapa lagi kalau bukan mereka?" (Riwayat Muslim)

Dalam kegawatan ini, muncul beberapa NGO yang pada zahirnya seolah-olah tampil untuk memainkan peranan sebagai pembela kepada kepentingan IMR (Islam, Melayu dan raja-raja) itu, tetapi persepsi umum terhadap mereka masih dicalit dengan keraguan. Ada yang menganggap mereka masih pro kepada satu pihak. Mungkin ia disebabkan komposisi barisan kepimpinan atau latar belakang beberapa pemimpin NGO berkenaan.

Kini sedang diuar-uarkan kemungkinan munculnya kuasa ketiga yang diharap akan berjuang benar-benar kerana Allah dan bukan kerana mahukan habuan dunia. Mereka tidak perlu menubuhkan parti politik baru dan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Memadai dengan pengisian untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam mengenai tanggung jawab orang yang beriman di Malaysia ini. Tanggung jawab itu telah ditunjukkan dengan jelas oleh Rasulullah semasa hayat baginda.

Dan jika ada keperluan untuk bersuara di Dewan Rakyat, mungkin kuasa ketiga ini kelak meletakkan calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang atas tiket bebas. Mereka tidak perlu berjuang untuk menubuhkan kerajaan, memadai sekadar menjadi kuasa pengimbang antara dua kuasa yang semakin kalut berebut kuasa. Keghairahan untuk merebut kuasa telah menjadikan perjuangan mereka tersasar daripada landasan 'kerana Allah.' Akhirnya hanya duniawi yang mereka kejar.

Akhir kalam renungi maksud hadis berikut ini:

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu (orang Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "cinta pada dunia dan takut pada mati". (Hadis Riwayat Abu Daud)

0 comments:

share2