Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 29, 2012

Buku Jingga Itu Bukan Al Quran - Azizan Abdul Razak


Dalam siri ceramah anjuran Himpun di dewan Majlis Perbandaran Klang, Meru minggu lalu, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali ditanya oleh seorang hadirin mengenai doktrin Pas adalah agama.

Hadirin itu musykil kerana mereka yang keluar daripada Pas dianggap seolah-olah terkeluar daripada Islam. Jawapan Hasan yang baru saja dipecat daripada Parti Islam SeMalaysia itu mudah, iaitu Pas bukan agama tetapi parti politik.

Menurut Hasan, doktrin itu mungkin sengaja diwujudkan supaya parti tersebut akan sentiasa berada dalam jajaran hati manusia. Keluar daripada Pas tidak akan membuatkan seseorang itu terkeluar daripada agamanya.

'Jadi, janganlah risau,' nasihat Hasan yang menggunakan platform Himpun itu untuk menyedarkan umat Islam mengenai gejala murtad yang mahu diperanginya habis-habisan.

Sebenarnya siri jelajah Hasan Ali yang menjanjikan bakal mendedahkan jati diri sebenar Pas yang menurutnya, 72.28 peratus kepimpinannya kini bukan golongan ulama dan dianggap parasit, belum bermula.

Majlis Himpun di Meru itu yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang sehingga melimpah ke luar dewan adalah siri rutin Himpun. Tetapi ramai termasuk ahli Pas dalam dewan itu berminat dengan isu yang berlegar dalam Pas.

Sebahagian daripada mereka walaupun telah ditarbiahkan dan berbaiah untuk taat setia, mahu membuka diri dengan sudut pandang lain. Mereka bukan dalam kalangan yang taksub. Mereka masih bersikap terbuka yang tidak sanggup menggadai agama dan bangsa demi kekuasaan Putrajaya.

Tetapi kepimpinan pakatan pembangkang khususnya Pas semestinya yakin benar Hasan 'tidak ada pengaruh'. Buktinya, bertalu-talu kenyataan daripada Mursyidul Am sehingga pimpinan Pas Pusat dan negeri cuba untuk merendam suara Hasan.

Di atas permukaan, terlihat tidak ada seorang pun dalam kalangan pemimpin mereka yang bimbang pemecatan itu bakal menghakis sokongan kepada Pas. Mereka juga tidak hirau dengan bakal munculnya kuasa ketiga dan rancangan Hasan untuk melakukan siri jelajah.

Mungkin sebab itu juga, Pusat Penyelidikan Pas pun buru-buru membuat kaji selidik yang hasilnya tentu sekali akan senada. Kajian itu merumuskan pemecatan keahlian Hasan hanya memberi kesan minimum kepada masyarakat Melayu.

"Melihat kepada penilaian terhadap respons pembaca dan penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr. Hasan Ali adalah lebih dominan," kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Ahmad Zuhdi Marzuki.

Selain kenyataan akhbar dan sidang media untuk menangkis persepsi umum, analisis dan komentar mereka merujuk kepada satu rumusan - biarkan Hasan kerana dia sudah tiada pengaruh.

Hasan bagi pimpinan Pas adalah musuh 'yang selama ini dikelilingi oleh orang UMNO dan yang kecewa tidak mendapat jawatan Menteri Besar. Strategi seperti ini sudah biasa dilakukan pemimpin pakatan pembangkang iaitu melabel dan seterusnya mengaitkan orang yang tidak sehaluan dengan UMNO.

Azmin Ali, tokoh PKR yang pakar memperlekeh orang lain juga tidak ketinggalan tumpang semangkuk. Beliau tetap lancang walaupun desakannya sebelum ini yang mahu Hasan diambil tindakan ditempelak ramai pemimpin Pas.

Pemimpin kesayangan Anwar ini tetap saja dengan perangai suka mencampuri urusan rumah tangga orang lain. Hasan yang tegar menentang permainan politik Anwar menurut Azmin, adalah sebenarnya parasit yang boleh merosakkan perpaduan pakatan pembangkang.

Begitulah 'pengaruh' Hasan bagi musuh baru Pas dan pakatan pembangkang ini. Berbondong-bondong mereka cuba melakukan pembunuhan karakter Hasan tetapi pada masa sama berkata tiada apa yang dibimbangi dengan pengaruh Hasan.

Mungkin saja kepimpinan Pas begitu yakin dengan tarbiah dan ikrar taat setia parti itu sehingga exodus pemimpin dan ahli, tidak mungkin boleh berlaku sebagaimana dialami parti rakan mereka, PKR.

Belum selesai mengurus Hasan, kini timbul pula isu Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Menteri Besar Kedah ini memang dilihat sering bertentangan dengan aspirasi kepimpinan Pas dan pakatan pembangkang.

tempias

Sebagaimana Hasan, Nasharuddin Mat Isa, Harun Din dan ramai lagi yang dilabel pro BN, Azizan juga sudah terkena tempias itu. Malah Aziz Bari, pendukung Anwar itu secara terbuka mencadangkan supaya Azizan menyertai BN.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini yang kini aktif di atas pentas ceramah pakatan pembangkang menempelak Azizan kerana menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Aziz mahu Azizan dikenakan tindakan tegas kerana pendirian Menteri Besar Kedah itu bertentangan dengan kesepakatan pembangkang untuk menghapuskan AUKU yang juga termaktub dalam buku jingga mereka.

Azizan pun bingkas menjawab desakan Aziz dan menyifatkan Aziz sebagai buta undang-undang. Ketegasan Azizan bahawa buka jingga bukan al-Quran yang mesti dipatuhi sepanjang masa melegakan ramai pemimpin akar umbi yang sebelum ini berkeluh-kesah melihat pemimpin mereka diperkotak-katikkan.

Sejak dari awal, pendirian Azizan terhadap tindakan ke atas lima pelajar Kolej Universiti Insaniah yang didakwa di bawah AUKU kerana menyertai demonstrasi haram ini, tidak berubah. Beliau tidak melayan kerenah pelajar institusi milik kerajaan negeri ini, malah menyokong keputusan penggantungan pelajar berkenaan.

Inilah yang menyebabkan persatuan pelajar pro AUKU yang juga pro pembangkang dan pembela Aziz Bari semasa dikenakan tindakan oleh pengurusan UIAM dulu marah-marah. Mereka tidak menjangka sebegitu sekali sikap Azizan yang dianggap mengkhianati ikrar dalam buku jingga.

Tetapi Azizan sebagaimana juga Hasan selalu bersikap rasional dan matang. Mereka yang mahu AUKU dimansuhkan hanyalah kumpulan minoriti, tetapi pandai membuat gempar dan meraih sokongan.

Majoriti mereka yang berkepentingan termasuk Kerajaan Pusat mahu AUKU dipinda. Nisbahnya menurut Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ialah 60 mahu pinda manakala 40 tidak mahu pinda.

Tetapi apakah suara majoriti itu akan didengar oleh kumpulan ini? Percayalah, kumpulan ini dengan menggunakan segala pengaruh dan peluang akan terus melaksanakan supaya kehendak mereka dipenuhi walaupun mungkin nantinya akan memakan korban baru iaitu Azizan.

Azizan pun bukanlah tokoh yang disenangi oleh kepimpinan Pas. Beliau dianggap tidak lagi kompeten dan sudah ada usaha untuk menggantikannya dengan bermacam alasan digunakan termasuk tahap kesihatan Azizan.

Selepas Hasan yang dikenakan tindakan sejurus PKR membuat desakan, apakah mungkin Azizan akan mengalami nasib sama?

Sejauhmana Pas boleh bertolak ansur menangani desakan kumpulan minoriti yang pro Anwar itu? Azizan pun sudah merelakan jika pakatan pembangkang mahu mengambil tindakan termasuk memecatnya. Tetapi beliau mengingatkan, ia bukan mudah!

0 comments:

share2