Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 27, 2011

UMNO Perlu Bersatu


BERNAMA: Apakah intipati amanat Datuk Seri kepada anggota parti berlatarbelakangkan transformasi politik yang Datuk Seri cadangkan baru-baru ini?

NAJIB : Sebagai sebuah parti, bila menjelang tiba cabaran yang sangat besar, yakni, pilihan raya umum maka parti mesti berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang sepenuhnya.

Kesiapsiagaan yang saya maksudkan ini ialah secara menyeluruh dan komprehensif sama ada dari segi latihan, keilmuan, logistik mahupun dari segi mindset kita, iaitu kerangka minda kita, untuk memberi tumpuan kepada sebarang usaha yang boleh mengukuhkan parti kita, dan sebaliknya untuk mengelak daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh melemahkan parti.

Jadi pendekatan kita mesti menyediakan barisan yang ampuh, kita mesti rapatkan barisan kita dan kita mesti menampilkan kekuatan yang boleh digeruni pihak lawan.

Adakah siap siaga boleh dianggap sebagai menyediakan parti untuk berada dalam keadaan war footing atau rentak perang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13?

NAJIB: Yalah, kalau kita gunakan analogi perang, maknanya sebelum tembakan pertama di letupkan maka sebarang angkatan tentera kena melalui proses latihan dan persediaan dari segi strategi dan persediaan dari segi logistik, kelengkapan.

Semuanya ini mesti kita lakukan dalam keadaan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kemenangan yang kita harapkan.

Tidak kurang penting juga ialah nilai-nilai asas kita dalam menentukan kita boleh menang dalam sebarang peperangan iaitu nilai-nilai seperti ketaatan dan kesetiaan, disiplin, kesungguhan membuat kerja, semangat berpasukan.

Semua ini, nilai-nilai asas yang kita mesti hayati dan kita tidak boleh kompromi dalam hal ini. Kalau tidak parti kita boleh kecundang dalam kawasan yang berkenaan.

Kalau boleh saya gunakan analogi Harimau Muda yang tetap tabah walaupun berdepan penyokong Indonesia dan cabaran sengit (pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA di Jakarta minggu lepas)?

NAJIB: Kita kalau ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi.

Tetapi kalau kita kental dari segi kekuatan minda, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga.

Adakah Datuk Seri yakin bahawa Harimau Muda UMNO pun juga kental menghadapi cabaran terutama berdepan peningkatan pengundi muda dalam pilihan raya umum akan datang?

NAJIB: Sudah terbukti dalam pilihan raya kecil sejak dua tahun yang lalu, setiap kali kita menang pilihan raya kecil sejak Bagan Pinang kita dapati pengundi-pengundi saluran orang muda, biasanya kita lihat majoriti menyokong . Bererti bahawa sudah terbukti tidak semestinya orang muda bersikap anti-establishment (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu parti Barisan Nasional. Mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri mereka sebagai orang muda.

Pada pandangan Datuk Seri, adakah Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah mencapai matlamatnya untuk mendapatkan sokongan pengundi muda, yang merupakan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-13?

NAJIB: Kita dapati bahawa usaha ini mesti merupakan usaha yang secara bersepadu walaupun Pemuda dan Puteri mewakili generasi muda, tetapi mereka juga memerlukan keprihatinan daripada kerajaan dan pucuk pimpinan untuk mereka merealisasikan apa-apa tuntutan yang mereka lakukan bagi pihak orang muda atau generasi muda.

Umpamanya, bila kita buat projek Perumahan 1Malaysia (PRIMA), kita telah memansuhkan bayaran pendahuluan 10 peratus, dan kita hendak menjual rumah pada harga yang amat berpatutan dengan 100 peratus pinjaman.

Ini merupakan satu yang berbangkit dalam makmal Pemuda BN (Barisan Nasional) yang telah mencadangkan kepada kerajaan tetapi Pemuda sendiri tidak boleh menterjemahkan ini dalam bentuk sesuatu dasar atau pun program.

Ini memerlukan pertimbangan daripada kerajaan, dan kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada kehendak dan tuntutan generasi muda. Saya sendiri terlibat dengan pelbagai program secara langsung secara khusus dengan generasi muda. Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda... walaupun saya rasa saya muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi muda seperti mana juga dengan wanita, seperti mana juga dengan golongan warga emas, kelas pertengahan dan pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat.

Datuk Seri mahu anggota UMNO supaya mengelak melakukan kesilapan sehingga boleh melemahkan parti. Kenapa Datuk Seri membuat peringatan ini?

NAJIB: Kita pun boleh merumuskan apakah perkara-perkara yang boleh merugikan kita. Semua orang UMNO tahu apakah perkara-perkara ini tapi tahu sahaja tidak bererti bahawa perkara itu terhapus sama sekali.

Kita mesti memperlihatkan iltizam kita untuk melakukan sedikit pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi kita mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti. Ini satu daripada prinsip kita berparti.

Orang yang menganggotai parti itu ramai tapi orang yang berparti, yang tahu tentang semangat parti, tahu tentang matlamat dan kepentingan parti, itu yang mesti kita tanam di kalangan 3.4 juta ahli UMNO.

Datuk Seri mahu anggota UMNO berada dalam kesiapsiagaan seperti mengadakan latihan dan sebagainya. Adakah disebabkan itu, perhimpunan UMNO kali ini berbeza kerana ia dimulakan dengan forum dan persidangan antarabangsa sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula?

NAJIB: Forum (Wasatiyyah) itu tidak dikhususkan (untuk perhimpunan UMNO), sebaliknya forum itu merupakan satu wahana untuk kita memprojekkan nilai keintelektualan UMNO, dan juga peranan UMNO dalam konteks antarabangsa supaya dunia memahami akan apakah matlamat perjuangan UMNO, dan khususnya atas apa yang didokong oleh UMNO hari ini seperti pelan transformasi nasional yang kita sedang perjuangkan dan sebagainya.

Sejak Datuk Seri memimpin tampuk parti dua setengah tahun lepas, Datuk Seri telah banyak membawa transformasi. Sejauh mana proses transformasi itu telah dilaksanakan oleh anggota parti?

NAJIB: Ada perubahan, tapi saya anggap ini sebagai satu pelayaran sebenarnya.

Sebab hendak ubah manusia, ia satu cabaran yang cukup besar sebab pada akhirnya dia bukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) sahaja, perubahan daripada segi struktur dan perubahan daripada segi cara melakukan pemilihan dalam parti.

Tapi kesudahannya, ia bergantung kepada sikap dan nilai masyarakat kita, itu yang paling mencabar sekali.

Datuk Seri ada cakap pasal pengorbanan dan juga calon boleh menang. Jadi setiap kali pilihan raya ini adalah isu yang timbul bagi mereka yang memegang jawatan dan sebagainya. Bagaimana Datuk Seri tangani isu “cantas-mencantas” calon BN pada pilihan raya umum yang akan datang ini?

NAJIB: Kita rumuskan apa winnable candidate itu supaya setiap kerusi yang kita bertanding, kita cuba tampilkan calon yang ada peluang terbaik untuk menang.

Tapi winnable candidate kita ini bukan sahaja kita lihat daripada segi kebolehan dan rekod kerja yang baik, tetapi juga penerimaan daripada sudut masyarakat tempatan termasuk jentera parti. Kalau jentera parti menolak, seorang yang ada kebolehan pada akhirnya dia tidak akan berjaya.

Sebaliknya, kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan tekankan orang itu mesti merupakan calon kerana berdasarkan hierarki, tetapi calon kita itu tidak mungkin berjaya, apa yang berlaku ialah calon kita akan gagal.

Jadi winnable candidate ini mesti difahami. Kita mesti yakinkan kepada jentera (pilihan raya parti) untuk menerima siapa yang kita tonjolkan, kalau tidak sukar hendak mencapai kejayaan.

Sebaliknya, kalau winnable candidate itu yang ditampilkan oleh kelompok dalam sesuatu bahagian, tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tidak akan berjaya.

Pada pilihan raya umum lepas, ada dakwaan kata penilaian terhadap calon tidak begitu kemas dan teratur. Kali ini Datuk Seri sering mengatakan winnable candidate, bolehkah Datuk Seri berkongsi bagaimana pucuk pimpinan melakukan identifikasi mengenai winnable candidate ini?

NAJIB: Kita sekarang belum lagi muktamad (mengenai calon). Kita mesti membuat penilaian secara objektif, bukan sahaja subjektif. Ini yang paling penting sekali. Calon yang dipilih bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi, tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan.

Soal menentukan calon ini adalah satu soal yang sangat mencabar dan sukar dilakukan. Mustahil kita dapat memberi kepuasan kepada semua orang . Mengikut pengalaman saya selama 35 tahun dalam politik, tidak pernah berlaku dalam pilihan raya (membuat keputusan mengenai calon yang memuaskan semua pihak).

Tetapi apa pun keputusan yang dibuat parti, pada kesudahannya kita kena terimalah sebagai orang berparti keputusan parti, walaupun tidak mengikut selera atau kehendak kita.

Dan saya telah mengalami banyak peristiwa di mana saya lihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan yang dibuat parti tidak disenangi, tetapi dia terima. Tapi jika diterima keputusan itu calon itu akan menang, tetapi sebaliknya kalau dia terus menentang dia hendak kata apa hendak jadi jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tidak setia pada parti, dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa.

Sepatutnya apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana kita (BN) tewas lima buah negeri adalah satu pengajaran yang seharusnya tidak dilupai oleh kita. Dan akibat daripada punca kekalahan itu mesti kita sedar. Saya tidak menafikan kadang-kadang kita tidak dapat memuaskan hati semua penyokong kita di peringkat bahagian, sebab itu saya kata sejak awal lagi mustahil kita memberi kepuasan 100 peratus kepada ahli dalam satu bahagian sebab di peringkat bahagian, mereka pun tidak sependapat.

Apa yang harus ada ialah disiplin parti dan kesetiaan kepada parti. Maknanya bila sampai pada masanya keputusan itu (pemilihan calon) diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti.

0 comments:

share2