PERHIMPUNAN Agung UMNO kali ini dianggap medan terbaik bagi parti tersebut merumuskan strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, perwakilan, pemerhati dan penyokong yang hadir tidak harus melihat perhimpunan kali ini sekadar perhimpunan tahunan semata-mata.
Melalui perhimpunan yang bakal berlangsung UMNO harus dicerminkan dan digambarkan sebagai parti tonggak orang Melayu, segala harapan dan impian serta survival politik Melayu bergantung sejauh manakah UMNO mampu memainkan peranannya bagi mengukuhkan kuasa politik Melayu.
Kuasa politik sangat penting untuk melaksanakan sesuatu agenda, tanpa kuasa politik, mana-mana parti dan pemimpin tidak mampu melakukan apa-apa. Idealisme hanya sekadar tinggal idealisme.
Agenda Melayu dan Islam hanya dapat dilaksanakan sekiranya orang Melayu masih berkuasa dan dominan, inilah tugas penting yang terpikul di bahu UMNO dan perlu difahami dengan sejelas-jelasnya oleh mereka yang bakal hadir pada perhimpunan agung parti itu minggu depan.
Sama ada hendak diakui atau tidak, orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka amat bergantung kepada peranan UMNO sebagai tonggak pemerintahan negara.
Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Pas yang dilihat semakin kehilangan taringnya selepas bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Akibat situasi inilah yang memungkinkan cengkaman kuasa politik Melayu semakin lemah.
Atas sebab itulah, sementara UMNO melalui Barisan Nasional (BN) dilihat tetap memerlukan sokongan kaum lain untuk menang pilihan raya, namun asas dan dasar perjuangan UMNO dalam membela nasib orang Melayu tidak harus dipinggirkan.
UMNO tidak harus merasa gentar atau takut untuk terus bercakap soal perjuangan orang Melayu kerana sejarah sudah membuktikan keutuhan dan kekuatan yang dimiliki UMNO melalui kerjasama dalam BN terus memberi manfaat besar kepada kaum-kaum lain.
Ketika pelbagai tafsiran dan keraguan yang wujud mengenai sikap UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, maka adalah wajar jika perhimpunan agung kali ini dijadikan platform terbaik kepada UMNO untuk menarik kembali sokongan orang Melayu yang dikatakan meninggalkan parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
Orang Melayu perlu diberi isyarat yang jelas bahawa UMNO tidak pernah meminggirkan apatah lagi sanggup menggadaikan perjuangan Melayunya semata-mata untuk meraih undi.
Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah kesempatan terbaik dan mungkin yang terakhir kepada UMNO sebelum pilihan raya umum untuk menyakinkan orang Melayu bahawa survival politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO.
Jika UMNO tidak mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang, orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka akan turut menerima tempiasnya.
Orang Melayu tidak harus diracuni dengan tafsiran bahawa tanpa UMNO pun politik orang Melayu akan terus terselamat kerana adanya PKR dan Pas, tetapi cubalah mereka fikirkan dengan hati dan minda yang tenang, apakah benar kedua-dua parti itu mampu menjadi tonggak kekuatan kepada politik orang Melayu?
Tidakkah selama ini pemimpin-pemimpin Melayu di dalam kedua-dua parti berkenaan dilihat terlalu berhati-hati dalam membuat penegasan terhadap sesuatu isu hatta dalam melibatkan soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam sekali pun?
Oleh itu adalah wajar jika perwakilan UMNO yang akan memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan memahami tanggungjawab dan peranan mereka yang dilihat semakin genting berikutan senario politik semasa.
Sama ada kuasa politik Melayu akan kuat atau lemah, segala-galanya bergantung sejauh manakah UMNO yang dilihat parti keramat orang Melayu mampu memainkan peranannya.
Dalam soal ini juga, tidak keterlaluan jika kita ingin memperingatkan kepada sesetengah pemimpin dan penyokong UMNO supaya menjadikan perhimpunan kali ini bagi mereka menyingkirkan segala tabiat politik buruk yang masih ada pada diri mereka.
Sikap berlumba-lumba mahu menjadi calon, memikirkan keuntungan peribadi dan ingin menyokong pemimpin pilihan mereka sahaja dalam pilihan raya harus disingkirkan.
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti amat penting dan ia sepenting perhimpunan agung kali ini yang dikatakan bakal menjadi medan utama kepada UMNO untuk menyusun strategi bertarung dalam 'pertempuran' yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik negara.
Jika ahli-ahli UMNO masih lagi leka dengan menganggap tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan, percayalah mereka bakal menjadi penyumbang kepada keruntuhan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.
Seperti mana yang diperkatakan berkali-kali, dalam pilihan raya yang berlangsung, UMNO kalah di satu-satu kawasan bukan kerana parti lawan kuat tetapi kerana masalah dalaman termasuklah bercakaran sesama sendiri.
Dalam soal ini penulis teringat pertemuan dengan seorang ketua bahagian UMNO di sebuah negeri di pantai timur yang melahirkan kegusarannya bagaimana sehingga ke hari ini masih wujud budaya cah keting yang menebal di kalangan sesetengah pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan.
''Mereka ini masih amalkan sikap, kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat, mereka ini lebih rela melihat parti lawan menang berbanding kawan daripada parti sendiri, inilah sindrom yang perlu dihapuskan di kalangan ahli-ahli UMNO," kata ketua bahagian berkenaan.
Hakikatnya, kita tidak pasti apa lagi pengajaran yang mahu diberikan kepada sesetengah pemimpin dan ahli UMNO yang dilihat masih lagi belum mahu insaf biar pun dalam pilihan raya umum lalu rakyat sudah memberi isyarat yang jelas jika mereka terus berpolitiking sesama sendiri.
UMNO sudah hilang kuasa di Kedah, Selangor, Perak (selama 11 bulan) dan terus kecundang di Kelantan manakala di Pulau Pinang, BN telah menjadi pembangkang.
Walaupun pucuk pimpinan parti memberikan pelbagai nasihat dan panduan namun masih ada di antara mereka belum mahu bermuhasabah dan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.
Atas sebab itulah, adalah diharapkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan mampu memberikan keinsafan dan pengajaran kepada puak-puak seumpama itu supaya kembali sedar dan menghapuskan perasaan ingin menjadi pengkhianat kepada parti sendiri.
Pilihan raya umum akan datang sudah ditafsirkan sebagai penentu kepada hidup mati survival politik Melayu melalui UMNO, inilah perkara penting yang perlu difahami oleh pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Mereka perlu faham, biar pun UMNO masih menjadi tonggak pemerintahan negara tetapi kekuatan parti itu tidak seutuh mana jika ia tidak diperbaiki dalam pilihan raya umum akan datang. Ingatlah, apabila UMNO kuat, maka kukuhlah negara dan sekali gus memastikan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini terpelihara.
0 comments:
Post a Comment