Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 21, 2011

Hassan Ali Mengegarkan Jiwa Pemuka PAS

KENYATAAN AKHBAR MENGENAI MURTAD
OLEH DATO DR HASAN MOHAMED ALI

Pagi tadi saya ada menjawab soalan daripada YB Sungai Burung mengenai murtad. Beliau menanyakan samada benar-benar wujud orang Islam yang dimurtadkan, teknik yang digunakan oleh pendakyah-pendakyah Kristian dan langkah-langkah yang diambil oleh JAIS untuk menangani masalah ini.

Saya menyatakan memang benar terdapat orang-orang Islam yang telah dimurtadkan. Daripada kajian yang dibuat oleh JAIS dan badan-badan yang lain memang terdapat gerakan terancang dan berstrategik oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk memurtadkan masyarakat Islam terutama di kalangan orang Melayu dan mualaf-mualaf.


Unit Selamatkan Aqidah yang ditubuhkan dibawah Portfolio saya telah menerima 41 pengadu yang terjebak dalam perangkap pendakyah-pendakyah Kristian. Sebahagiannya telah menjalani upacara baptisme, meminum air suci, menyertai "last supper" dan mengikuti kursus-kursus Kristian yang biasanya diadakan secara mingguan.

Atas usaha Unit Selamatkan Aqidah, hampir kesemua mereka sekarang menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor dalam jarak masa yang singkat. Bantuan yang diberi berbagai bentuk termasuk bantuan modal untuk berniaga.

Saya telah menerangkan cara-cara yang digunakan oleh pendakyah-pendakyah Kristian termasuklah menubuhkan berbagai pertubuhan kebajikan, menganjurkan kelas-kelas tuisyen dan bimbingan, usaha penerangan yang meluas, terjemahan Bible ke Bahasa Melayu, kalimah Allah dalam Bible, membekalkan "Solar Powered Handheld Talking Bible" dan sebagainya.

Saya memberitahu Dewan bahawa JAIS ada merangka dan melaksanakan pelbagai program untuk menangani gerakan Kristian ini. Ini termasuklah program penerangan bertumpu, menggerakan media dakwah, menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988.

Saya ada menyentuh bagaimana negara-negara yang mempraktikkan Hukum Hudud telah berjaya menyekat kemaraan usaha memurtadkan Ummat Islam dinegara masing-masing.
Suka saya menambah bahawa sebagai seorang Muslim dan sebagai EXCO Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap Islam, adalah menjadi tanggungjawab saya dan saya mewajibkan diri saya menentukan orang-orang Islam di negeri ini terselamat dari segala ancaman dakyah Kristian ini.

Saya menyeru kepada setiap Muslim di negeri ini supaya berperanan dalam kapasiti masing-masing untuk bertindak supaya murtad yang merupakan salah satu jenayah Syariah ini dapat ditangani.

Atas nama seorang Muslim dan atas nama orang yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan Islam di negeri ini, saya akan cuba mencadangkan satu pelan bertindak kepada MAIS supaya dalam jarak masa tertentu mungkin dalam jarak masa satu dekad negeri ini dapat melaksanakan Hukum Hudud iaitu Hukum Allah khusus untuk digunapakai oleh masyarakat Islam.

Hanya dengan kembali kepada peraturan Allah swt seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah barulah permasalahan seperti ini dapat dirungkaikan.

Pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu,
Infrastruktur Dan Kemudahan Awam

Tarikh: 17 November 2011.

0 comments:

share2