Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 21, 2011

Golongan Pendidik Anti PAS


Golongan pendidik di daerah ini meminta kerajaan tidak melayan kehendak pembangkang yang mahu mengubah fakta sejarah dengan mengagungkan pengganas komunis pada zaman darurat dahulu.

Pihak tertentu yang mahu berbuat demikian perlu memikirkan kepentingan bangsa dan negara serta bukan atas tiket politik sendiri.

Pemangku Majlis Guru Besar Daerah Maran, Hamzah Mat Ali, 51, berkata, dia bimbang dengan fenomena tersebut dengan menganggap tindakan pemimpin politik terbabit adalah untuk menyambung 'talian hayatnya' sahaja.

''Mereka yang mahu mengubah fakta sejarah perlu berfikir dengan mendalam kerana ia akan membawa masyarakat kepada situasi tidak tenteram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Seorang guru, Abdul Latiff Umar, 48, berkata, para pendidik sejak dahulu lagi mengajar murid dan pelajar sekolah berdasarkan fakta sejarah yang ditulis oleh pakar sejarah negara ini.

Katanya, jika kehendak pihak terbabit diikuti, tidak mustahil golongan pelajar akan memahami bahawa komunis menjadi hero sebenar.

Bagi seorang guru, Yasin Maarof, 49, dia bersyukur kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas dan tidak akan melayan permintaan golongan terbabit.

''Ideologi komunis tidak dapat diterima oleh orang Melayu Islam kerana ia anti agama dan anti Tuhan. Malah, mereka sanggup melakukan pembunuhan kejam pada zaman darurat dulu,'' katanya.

Pesara guru, Ahmad Sabrey Idris, 55, berkata, buku Sejarah yang diajarkan di sekolah adalah tepat dan diperakui kerana telah melalui kajian serta kesahihan daripada pakar sejarah tanah air.

0 comments:

share2