Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 14, 2011

DMMC Hospital Pelancongan Pahang


Pusat Perubatan Darul Makmur (DMMC) yang beroperasi hari ini melakar sejarah tersendiri dengan menampilkan konsep pelancongan kesihatan yang pertama di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, DMMC yang dibina dengan kos RM65 juta adalah pusat perubatan berkonsepkan resort itu mempunyai persekitaran yang lebih selesa dan jauh daripada kesibukan bandar.

"Lokasinya di Kempadang Makmur iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar dilihat begitu strategik dan memenuhi keperluan pesakit.

"Sebagai permulaan, DMMC mempunyai 123 katil dan 21 doktor pakar dalam bidang-bidang kritikal seperti ortopedik dan pakar bedah tulang belakang," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Terbuka DMMC di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir, Pengarah Bersama DMMC, Tok Kai Boon dan Tok Kai Son; Pengarah Perubatan DMMC, Prof. Madya Dr. Zamzuri Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Warisan, Hal Ehwal Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff.

Menurut Ahmad Shukri, setakat ini DMMC merupakan hospital swasta terbesar di negeri ini dan merancang membuka hospital keduanya di Jengka yang dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

"Keperluan perubatan pada masa kini mendorong hospital itu membuka sebuah lagi hospital di Felda Jengka 8 dengan menumpukan kepada pesakit di luar bandar terutama para peneroka. Dengan kos RM70 juta, hospital enam tingkat itu akan memuatkan 150 katil dan akan menawarkan caj perkhidmatan yang jauh lebih rendah berbanding caj biasa," jelasnya.

Tambah beliau, perkhidmatan di hospital itu tidak hanya ditawarkan kepada pesakit tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menikmati pelancongan kesihatan.

Katanya, lebih menarik, pihaknya akan membina sebuah hotel bertaraf empat bintang berhampiran hospital di Jengka dan ia memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya. Tambahan pula, lokasi DMMC di Jengka begitu strategik iaitu berhampiran Taman Negara dan Gua Kota Gelanggi," ujarnya.

0 comments:

share2