Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 11, 2011

Adnan yakin bencana alam punca utama tanah runtuh Sungai Ruil


Kawasan bukit ditarah untuk pembinaan projek perumahan bersebelahan Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang, Cameron Highlands.

KUANTAN: Punca kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Ahad lalu, tidak ada kaitan langsung dengan pembangunan atau penerokaan pembalakan haram, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa tragedi yang mengorbankan tujuh nyawa disifatkan sebagai bencana alam. Beliau berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima menunjukkan terdapat satu takungan air akibat hujan lebat di atas bukit berhampiran dan oleh kerana airnya terlalu banyak dan akhirnya berlaku tanah runtuh.

"Secara kebetulan aliran tanah runtuh itu betul-betul melalui beberapa rumah di perkampungan berkenaan... saya mula ingat (kejadian tanah runtuh) akibat pembangunan tetapi bukan, ia lebih kepada bencana alam.

"Bagaimanapun, setakat ini, perkampungan Orang Asli lain yang berhampiran tempat kejadian masih selamat," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai dan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) 4 Briged Mekanize, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Ahad lalu, tujuh terbunuh dan dua parah dalam kejadian tanah runtuh yang menyebabkan lima rumah tertimbus dengan empat daripada tertimbus sepenuhnya.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil didiami 138 orang daripada 96 keluarga adalah antara perkampungan tercantik di Cameron Highlands.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan negeri akan cuba memujuk semua keluarga Orang Asli berkenaan berpindah dan kawasan penempatan semula lain.
"Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi tujuan ini,” katanya.

"Namun, kita akui agak sukar untuk berbuat demikian...tetapi kita akan cuba cari kesesuaian di kawasan berhampiran yang akan dikenal pasti tidak ada ancaman tanah runtuh pada masa akan datang," katanya. (Sumber : Berita Harian)

0 comments:

share2