Nasib seorang warga emas yang lumpuh akibat kemalangan 16 tahun lalu mendapat perhatian dua wakil rakyat yang mengunjunginya di pekan Kuala Krau di sini baru-baru ini.
Pada kunjungan itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said memberi sumbangan kerusi roda dan wang tunai manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar menghulurkan bantuan makanan kepada Cheang Choon Min, 68.
Kunjungan itu sempena program 'Walkabout' Ahli Parlimen Kuala Krau bersama pemimpin setempat dan agensi kerajaan untuk menziarahi orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit kronik di sekitar pekan Kuala Krau.
Choon Min ketika ditemui berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit yang prihatin terhadap nasib golongan tidak bernasib baik sepertinya.
"Saya tidak menyangka menerima kunjungan pemimpin ini dan berasa gembira mendapat bantuan kerusi roda baru untuk memudahkan saya bergerak mengambil angin di luar," katanya.
Choon Min memberitahu, dia lumpuh selepas kemalangan ketika pulang dari tempat kerja pada 1995. Semasa dalam perjalanan pulang menaiki motosikal, dia meredah hujan lebat dan tidak dapat melihat pemandangan di hadapannya.
"Tiba-tiba saya terlanggar sebatang pokok tumbang. Saya terjatuh menyebabkan pinggang saya tercedera," katanya.
0 comments:
Post a Comment