Isra’ Mikraj: Mengenang Ketokohan Rasulullah S.A.W
Pada setiap 27 Rejab di dalam kalendar hijrah, umat Islam di
seluruh dunia akan mengenang perjalanan Rasulullah S.A.W bermula di Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidhratul Muntaha.
Perjalanan ajaib dan penuh rahmah ini terjadi semasa Nabi
Muhammad S.A.W. dirundung kesedihan, kerana pada tahun kejadian peristiwa Isra’
& Mikraj ini, baginda kehilangan isteri yang tercinta Ummul Mukminin
Saidatina Khadijah Binti Khuwailid dan juga bapa saudara yang amat baginda
kasihi, Abu Talib Bin Abdul Mutallib.
Peristiwa Isra’ & Mikraj yang terjadi hanya dalam satu
malam ini merupakan satu mukjizat kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Sebagai seorang Muslim, penganugerahan istimewa peristiwa Isra’ & Mikraj
ini merupakan satu hadiah yang amat istimewa untuk kita semua.
Tidak seperti sambutan Isra’ & Mikraj pada tahun-tahun
sebelumnya, tahun ini kita mengenang perjalanan malam Rasulullah S.A.W dalam
keadaan berjaga-jaga, akibat dari penularan wabak Virus Covid-19 yang sedang
merebak, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Sungguhpun tiada sambutan secara rasmi atau majlis ilmu
besar-besaran sepertimana yang biasa diadakan seperti dahulu, saya amat
berharap agar umat Islam di Malaysia, khususnya di Pahang Darul Makmur tidak
membiarkan tarikh peristiwa bersejarah ini berlalu begitu sahaja. Sebagai umat
Islam, kita bertanggungjawab untuk mengenang peristiwa ini dalam pelbagai cara
yang bersesuaian mengikut keadaan semasa.
Isra’ & Mikraj yang disambut pada tarih 22 Mac 2020
Masihi (bersamaan 27 Rejab 1441 Hijah) tahun ini hadir pada ketika Perintah
Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan oleh pemerintah. Kita semua perlu akur
dengan arahan ini untuk kebaikkan dan keselamatan bersama. Walaupun larangan
ini menghadkan pergerakan kita, pelbagai cara boleh dilakukan di dalam rumah
bersama keluarga untuk mengenang peristiwa perjalanan ajaib Rasulullah S.A.W
ini.
Para ibu bapa atau penjaga boleh mengambil peluang ini untuk
mendidik anak-anak dengan bercerita tentang peristiwa Isra’ & Mikraj ini
secara santai kepada anak-anak mereka. Berceritalah mengenai peristiwa kisah
Isra’ & Mikraj secara santai, kerana melalui cara ini, ia membolehkan
golongan kanak-kanak dan remaja bersama-sama menghayati kisah Rasulullah S.A.W
dalam usaha dakwah baginda, sekaligus dapat meningkatkan rasa cinta mereka
terhadap Nabi Muhammad S.A.W.
Bagi golongan yang belum berkahwin atau mereka yang tinggal
bersama rakan-rakan atau tinggal berjauhan dari kaum keluarga, mungkin mereka
boleh mengambil sedikit masa untuk berbual bersama rakan-rakan serumah dan
berbicara mengenai peristiwa Isra’ & Mikraj sesama mereka. Dalam kesibukkan
membincangkan tentang hal-hal dunia, mungkin boleh diselitkan sedikit
kisah-kisah tentang pengorbanan Rasulullah S.A.W untuk mengembangkan syiar
Islam kepada seluruh dunia.
Jika ada di antara kita yang tinggal di rumah bersendirian,
disamping menonton TV, mendengar lagu-lagu pop terbaru di radio ataupun
melayari internet, bagus juga jikalau diselitkan sedikit dengan membaca buku
atau menonton dokumentari mengenai Rasulullah S.A.W. Banyak
dokumentari-dokumentari menarik mengenai Rasulullah S.A.W yang boleh ditonton
secara percuma di laman video Youtube. Walaupun secara santai, cara ini boleh meningkatkan
kefahaman kita tentang ketokohan dan pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W yang bukan
sahaja dihasilkan oleh para pengkaji Muslim, tetapi juga para sarjana bukan
Islam dari barat.
Marilah kita terus mengenang peristiwa Isra’ & Mikraj
walaupun di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Keistimewaan Rasulullah S.A.W dalam menerima kurniaan Allah untuk mengalami
perjalanan malam yang sungguh ajaib ini haruslah mendatangkan keinsafan kepada
kita semua.
Jadikan sambutan Isra’ & Mikraj pada tahun ini, sebagai
satu pedoman, agar kita terus meningkatkan amal, ibadah dan memperbaiki akhlak
kita sebagai seorang Muslimin, dalam meniti perjalanan hidup yang penuh
pancaroba dan cabaran ini.
SUMBER: #Pahang1st. #MajuTerusPahang. #PahangkuMedia
0 comments:
Post a Comment