KUALA LUMPUR: Orang awam yang tidak mempunyai gejala, boleh
menjalani ujian Covid-19 di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.
Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ),
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, hasil kerjasama dengan pihak
swasta, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan, boleh melawat
laman web dan memuat turun aplikasi berkaitan, bagi menentukan masa lawatan ke
rumah bagi tujuan pengambilan sampel.
“Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 ini,
akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan,” menurut kenyataan
itu.
KKM turut memaklumkan buat masa ini, perkhidmatan berkenaan
disediakan oleh pihak swasta seperti Bookdoc; Pantai Premier Pathology Sdn Bhd,
Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ); Qualitas Medical Group Sdn Bhd; Gleneagles Kuala
Lumpur; Pantai Hospital Kuala Lumpur; Pantai Hospital Cheras; Pantai Hospital
Klang; Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka; Twin Tower Medical Centre, KLCC; dan
DoctorOnCall.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web
syarikat-syarikat tersebut, untuk maklumat lanjut.
Sementara itu KKM mengesyorkan orang ramai menggunakan
penutup mulut dan hidung surgical atau 3-ply face mask, untuk membantu
mengurangkan penularan Covid-19 berbanding jenis N95.
Ini kerana penutup mulut dan hidung N95 lebih ketat dan
boleh menyebabkan pemakainya sukar untuk bernafas.
“Ia lebih sesuai diguna pakai oleh anggota kesihatan yang
mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan, manakala 3-ply lebih praktikal
untuk digunakan oleh orang awam, kerana ia mampu menghalang pendedahan orang
lain kepada titisan dan percikan air liur orang yang memakai penutup mulut dan
hidung ini,” kata kenyataan itu.
SUMBER : BERNAMA/ FMT
0 comments:
Post a Comment