Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan Salam Sejahtera.
1. Sukacita
saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan beberapa lagi
langkah dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 dan untuk mengurangkan beban
tanggungan kepada golongan yang hilang punca pendapatan khususnya dengan
penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac hingga 31
Mac.
Antaranya ialah :-
i) Menyediakan
peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai
bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah
Kawalan Pergerakan Covid-19 sepanjang tempoh 14 hari.
Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.
ii) Kerajaan
Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri)
bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan
2,895 penerima.
Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan
Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020
ini.
iii) Bagi
meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan
kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.
iv) Kerajaan
Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
v) Bagi
bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh
negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang
beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan
rakyat yang memerlukan ini.
Mekanisme sumbangan oleh orangramai dan syarikat-syarikat
ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.
Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang
bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri,
saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Sya Allah.
2. Sukacita
juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di
Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan
penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan
berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.
Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan
keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut.
Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi
membendung wabak Pandemik COVID-19 ini.
Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar,
atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan ini.
3. Sukacita
juga saya maklumkan, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan
diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk
meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke
semasa.
4. Semoga
dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak
Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah.
YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
19 Mac 2020
0 comments:
Post a Comment