COVID-19 : KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR PAHANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.
01. Berikutan Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin, 16 Mac, mengenai wabak Pandemik
COVID-19 khususnya berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, sukacita saya
menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah ini.
02. Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia
bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara
(MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020
bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan
penularan wabak Pandemik ini.
03. Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha
Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang
dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih
tersusun dan menyeluruh.
04. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini
dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah
hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.
05. Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit
ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi inilah pengorbanan yang harus
kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.
06. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Peringkat Negeri, telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan
MKN 20 yang antaranya –
# Semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali
agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC
Pahang akan ditutup.
# Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal
Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun,
premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.
# Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan
kemudahan perbankan internet lebih digalakkan.
# Operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini
Kementerian-kementerian berkenaan.
# Semua pemegang permit/lesen batuan, mineral dan balak
dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral,
batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut.
# Selaras dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Pemangku Raja Pahang khusus untuk umat Islam, semua aktiviti keagamaan di
masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak diadakan.
Tetapi, Muazzin dibenarkan melaungkan Azan.
# Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) hanya
dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.
# Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual
barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi, manakala pasar awam pula hanya
dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
# Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan,
begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’.
# Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat
berikut –
Tidak dibenarkan makan di premis,
Hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu
dibenarkan.
# Semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab
sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan
serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked
hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya),
rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup.
# Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk
mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan
penggantian kad pengenalan.
# Menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel
membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi
dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.
# Penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian
Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.
# Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi
kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja.
# Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan
dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.
# Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota
perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.
# Pegawai penguatkuasa bersama (PDRM, PBT, APM, KPDNHEP)
akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang
telah dikeluarkan. Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara
maksimum dua (2) tahun.
07. Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan
Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil
ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, In Sya
Allah.
08. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima
kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam
menangani wabak Pandemik COVID-19 ini.
YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
18 Mac 2020
0 comments:
Post a Comment