.
KIMANIS, 19 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) yang baru
dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin berkata, kejayaannya
ini bukanlah atas sifat peribadi tetapi ia adalah kemenangan semua pihak yang
telah bertungkus-lumus bekerja.
Jelas beliau, kemenangan itu juga sebenarnya datang daripada
kematangan pengundi-pengundi Kimanis sendiri.
“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, bukanlah kejayaan
saya secara peribadi semata-mata. Ia menampakkan kedewasaan rakyat dalam
membuat keputusan pada hari ini dengan pelbagai isu yang menghantui rakyat dan
kita terjemahkan dalam pilihan raya kali ini,” katanya pada sidang media malam
tadi.
Selain itu Mohamad juga melahirkan rasa terima kasih kepada
bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang turut berkempen
membantu kemenangan BN.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan
terima kepada bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang turut
membantu BN.
“Kepada lawan saya, Datuk Karim Bujang, saya mengucapkan
ribuan terima kasih kerana telah menampakkan kematangan berpolitik, kita sering
bersemuka dan terserempak,” ujar beliau.
Ditanya tentang perkara pertama akan dilakukan beliau selaku
wakil rakyat baharu di Kimanis, Mohamad melihat isu yang sering menghantui
rakyat menjadi keutamaannya.
“Insya-Allah saya akan turun ke bawah bersama rakyat Kimanis
kita akan mencari isu-isu dan saya akan cuba menyuarakan isu-isu yang sering
menghantui rakyat Sabah dan Kimanis hari ini.
“Inilah perjuangan dan keutamaan saya. Saya ingin
menampakkan bahawa rakyat sangat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan
pada hari ini,” katanya lagi.
SUMBER – UMNO
0 comments:
Post a Comment