PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan
menjangkakan konflik mungkin akan timbul antara Malaysia dan Emiriah Arab
Bersatu (UAE) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan
9 rakaman audio didakwa antara Najib Razak dan 7 individu lain berkaitan 1MDB
serta SRC International.
Katanya, SPRM sebagai agensi kerajaan perlu menjalankan
tugas secara profesional, penuh berwibawa dan mengikut undang-undang dengan
menyerahkan semua rakaman itu kepada polis untuk disiasat.
Beliau menyifatkan tindakan agensi anti-rasuah itu
mendedahkan 9 klip audio berkenaan sebagai tidak pernah berlaku dan tidak
menepati standard profesionalisme yang dikehendaki.
“Pendedahan perbualan ketua negara dengan seorang pemimpin
negara asing adalah kerahsiaan yang sangat penting. Ia tidak wajar didedahkan
dengan sewenangnya tanpa melalui proses undang-undang.
“SPRM sewajarnya memahami kepentingan untuk Malaysia tidak
berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha kita mencari kebenaran berkaitan
skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM hari ini mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara
Najib dan isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli
Ahmad dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
SPRM berkata, individu lain yang terbabit dalam perbualan
itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli
Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul
Anwar Sulaiman, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, bekas ketua
pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang
individu bernama “Tan Sri Shukri”.
Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit
ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Pengerusi IPIC, Sheikh Mansour
bin Zayed al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company
dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.
Anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas pegawai khasnya, Amhari
Efendi Nazaruddin serta bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun turut
dinamakan SPRM.
SPRM berkata, klip audio itu ialah rakaman panggilan telefon
antara Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UAE antara 5 Jan hingga 29
Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi
maklumat.
Katanya, SPRM akan menyerahkan rakaman itu kepada polis
untuk siasatan lanjut.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menggesa polis
menyiasat rakaman audio yang didedahkan SPRM hari ini untuk menegakkan hak,
kepentingan dan keadilan.
SUMBER:
0 comments:
Post a Comment