KUANTAN : - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) merancang
untuk mendapatkan bekalan sumber air dari Sungai Ichat di Cameron Highlands
bagi memastikan kuantiti air mentah mencukupi untuk kegunaan di daerah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip),
Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ini berikutan bekalan air dari Sungai Terla
sudah tidak mampu menampung keperluan semasa apabila Loji Rawatan Air (LRA)
Kuala Terla hanya mampu membekalkan 68 peratus kegunaan air mentah kepada
penduduk di daerah Cameron Highlands.
Sehubungan itu, pihaknya merancang melakukan 'river
diversion' dengan Sungai Terla pada suku kedua 2020.
"Justeru, air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan
bagi memastikan kuantiti air mentah yang mencukupi dan stabil, sekali gus dapat
disalurkan kepada penduduk di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan
dipetik dalam laman sosial Facebook rasmi Paip hari ini.
Saiful Zaini berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan
Sungai Ichat telah dilakukan dan kualiti air mentah di sungai terbabit semakin
pulih.
Jelasnya, justeru pemantauan kualiti air mentah akan
dilakukan oleh pihaknya pada setiap minggu secara berkala.
Sementara itu, mengulas isu pengusiran 60 pekebun sayur di
kawasan terbabit, Saiful Zaini berkata, Paip menyokong penuh tindakan yang
diambil kerajaan Pahang dalam isu penerokaan tanah secara haram di Cameron
Highlands.
Katanya, tindakan sedemikian sebenarnya dapat menjamin
kelestarian sumber bekalan air sejagat khususnya di Sungai Ichat.
"Sebagaimana umum tahu, sumber air yang bersih, selamat
dan mencukupi dapat menjamin kehidupan sempurna dan pembangunan yang mampan
kelak," katanya.
0 comments:
Post a Comment