KUANTAN - Pemilik premis di Pahang dibenar menggunakan
pelekat tulisan jawi pada papan iklan tanpa perlu menukarkan semua tulisan
tertera di papan berkenaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda
berkata, kaedah itu bertujuan memudahkan semua pemilik premis di negeri itu
agar mematuhi arahan penggunaan tulisan jawi.
"Kita sudah beri tempoh kira-kira 12 bulan kepada
pemilik premis dan ia sudah memadai untuk mereka menukar atau menambah tulisan
jawi pada papan tanda premis masing-masing.
"Malah, kaedah juga sudah dipermudahkan bagi memastikan
kelancaran proses pelaksanaan tulisan jawi pada semua papan tanda dan iklan di
Pahang yang berkuat kuasa 1 Januari ini," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program
Smart Partnership Back To School 2020 di Dewan Utama Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK) hari ini.
Pada majlis itu, seramai 200 murid dan pelajar daripada
keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan beg sekolah dan baucer
alat tulis bernilai RM80.
Turut hadir, Setiausaha MPK, Datuk Hamiza Hamzah.
Mengulas lanjut Abd Rahim berkata, pelekat tulisan jawi yang
dilekatkan pada papan tanda dan iklan perlu lebih besar daripada tulisan rumi
supaya dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai selain diletakkan di bahagian
atas.
Katanya, pemilik premis yang ingkar atau gagal mempamerkan
tulisan jawi akan dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM250 bagi kesalahan
pertama.
"Kalau pemilik enggan mematuhi arahan buat kali kedua,
lesen perniagaan boleh dibatalkan," katanya.
Sementara itu Abdul Rahim berkata, kerajaan Pahang mengambil
maklum titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa
Billah Shah dan pengumuman mengenai cadangan menguatkuasakan penggunaan tulisan
jawi pada semua papan tanda premis perniagaan di negeri ini melalui
pelaksanaannya pada Januari lalu.
"Tidak ada keperluan untuk kita menunda pelaksanaan dan
penguatkuasaan ini. Kita sudah berikan masa secukupnya kepada semua
pihak," katanya.
0 comments:
Post a Comment