Kerajaan Pahang mendapati masih terdapat peniaga di negeri ini gagal mempamerkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di premis perniagaan meskipun pelaksanaannya bermula esok.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Abdul Rahim Muda berkata, setakat ini hanya 70 peratus yang sudah mematuhi arahan berkenaan manakala 30 peratus lagi dilihat gagal berbuat demikian.
Menurutnya, data tersebut diperoleh hasil pemantauan yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran arahan daripada kerajaan Pahang.
"Saya bersama PBT telah membuat pemantauan dan pemeriksaan di semua premis perniagaan di sekitar daerah ini mendapati sebanyak 30 peratus peniaga gagal memasang dan mempamerkan tulisan jawi.
"Kebanyakan yang ingkar arahan adalah peniaga Melayu dan mereka mempunyai tempoh beberapa jam lagi bagi melaksanakan arahan pelaksanaan tulisan jawi di semua papan tanda dan iklan premis perniagaan," katanya pada sesi sidang media di Cafe Hotel Shahzan Inn di sini hari ini.
Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap semua premis perniagaan yang gagal mempamerkan tulisan jawi mulai esok.
Jelasnya, peniaga yang ingkar arahan tersebut boleh dikompaun sehingga RM250 bagi satu kesalahan.
"Apabila kompaun dikeluarkan dan mereka masih enggan mematuhi, tindakan pembatalan lesen akan dikenakan terhadap mereka.
"Kita serius dan tidak akan berkompromi kerana tempoh yang diberi sudah lama," katanya.
Selain itu Abdul Rahim berkata, pelekat tulisan jawi yang dilekatkan pada papan tanda dan iklan perlu lebih besar daripada tulisan rumi supaya dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai selain diletakkan di bahagian atas.
Katanya, bagaimanapun terdapat segelintir peniaga tidak mematuhi standard tulisan jawi seperti ditetapkan oleh PBT.
"Jadi, kita minta peniaga menyemak tulisan jawi yang dilekatkan itu agar ia jelas dilihat dan dipamerkan pada bahagian atas papan tanda terbabit," katanya.
0 comments:
Post a Comment