Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 18, 2019

PPPB HANYA URUS PERMIT PASIR DI DAERAH PEKAN : MB





KUANTAN, 18.11.2019 -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan Perbadanan Pasir Pahang Berhad (PPPB) hanya menguruskan pengeluaran permit pasir di daerah Pekan sahaja, sekaligus menyangkal dakwaan bahawa PPPB memonopoli pengeluaran permit pasir.


Berkata dakwaan bahawa ada pengusaha pasir yang sukar memperbaharui permit mereka selepas penubuhan perbadanan itu diluluskan pada tahun ini, adalah tidak tepat.


"Daerah lain (PPPB) tidak terlibat dan mungkin ada kekeliruan di situ. Malah, dalam pengetahuan saya, tiada masalah yang dihadapi pengusaha jika mereka mahu memperbaharui permit." katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.


Wan Rosdy berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Leong Yu Man (PH-Triang) yang memohon penjelasan mengenai dakwaan pengusaha pasir berdepan masalah untuk memperbaharui permit mereka.


Menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Ketari), beliau berkata untuk tahun ini sebanyak 20 pengusaha yang diberikan lesen operasi pengambilan bahan batuan masih aktif melakukan kegiatan itu di daerah Bentong.


Daripada 20 itu, katanya lima pengusaha melakukan aktiviti tersebut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari melibatkan masing-masing dua operator di Sungai Bentong dan Sungai Benus dan satu di Sungai Kelau.


"Kerajaan negeri juga sentiasa memantau aktiviti ini menerusi pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah selain kita juga berharap kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat yang sahih untuk tindakan, jika berlaku aktiviti pengambilan secara haram.


"Bagi tujuan memperkasakan aktiviti pemantauan, kerajaan negeri telah menubuhkan Unit Peguatkuasaan Negeri Pahang menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 9 Okt lalu," katanya.

Wan Rosdy berkata penubuhan unit itu membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih bersepadu merangkumi semua aspek dengan lebih pantas dan berkesan.



SUMBER-- BERNAMA 

0 comments:

share2