AL KISAH, sejak semalam tular sepucuk surat dari Kementerian Pendidikan Malaysia (Negeri Perak) yang memberi kebenaran kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak untuk membuat lawatan awal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi dalam Negeri Perak.
Semasa singgah makan tengahari di Restoran Pak Ya Bistro di Kampung Kuala Slim dalam perjalanan pulang melawat kawasan banjir di Felda Besout, seorang penyokong kerajaan menunjukkan kepada saya surat yang sama di layar telefonnya.
Awal sungguh SPR mahu meninjau pusat mengundi di Negeri Perak. Tempoh akhir bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 ialah pada Mei 2023, iaitu tiga tahun enam bulan lagi. Masih lama.
Kenapa di Negeri Perak? Rasanya SPR tidak memohon perkara yang sama di negeri-negeri lain. Istimewa sungguh Negeriku Perak ni.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak dibentuk selepas PRU14 pada Mei 2018 setelah dua ADUN Barisan Nasional (BN) dari parti UMNO keluar dan mengisytiharkan diri ADUN bebas dan menyokong Faizal Azumu menjadi Menteri Besar.
Kedudukan 59 kerusi DUN Perak selepas PRU14 ialah 29 PH, 27 BN dan tiga PAS. Untuk membentuk Kerajaan Negeri, perlu sejumlah 30 kerusi untuk majoriti mudah.
Tindakan ADUN BN dari Sungai Manik dan Tualang Sekah menyeberang membolehkan PH membetuk kerajaan dengan 31 kerusi.
BN kini tinggal 25 kerusi dan PAS tiga menjadikan jumlahnya 28 kerusi di pihak pembangkang.
Kelebihan tiga kerusi bukanlah terlalu selamat buat sebuah Kerajaan Negeri dianggotai empat parti yang rapuh pakatannya.
Tambah lagi ketua kerajaan, iaitu Menteri Besar, hanya mewakili satu kerusi dari partinya (kini menjadi dua apabila ADUN Sungai Manik diterima menyertai PPBM), selain iparnya ADUN Tualang Sekah yang masih kekal bebas pro-PH.
Bukan rahsia umum lagi empat parti kerajaan di Negeri Perak sedang berantakan sesama sendiri. Pengerusi PKR Perak secara terbuka mengkritik kepimpinan MB Faizal Azumu.
Perantakan itu bukan sahaja antara parti, malah di dalam parti sendiri juga berganyang sakan.
Paling ketara dalam kepimpinan DAP Perak, apabila ADUN Malim Nawar dan ADUN Pokok Assam melepaskan jawatan di dalam parti itu kerana tidak puas hati terhadap Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming.
Kepimpinan Parti Amanah Nasional (PAN) Perak pula ibarat api di dalam sekam yang hanya menunggu masa merebak.
Ada ura-ura beberapa ADUN pihak kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku ADUN bebas.
Dikhabarkan jumlahnya lapan orang, tetapi paling mendesak empat. Jika dua sahaja ADUN meninggalkan pihak kerajaan, ada dua kemungkinan akan berlaku iaitu samada Kerajaan Negeri Perak bertukar tangan seperti berlaku pada 2009, atau Pilihanraya Negeri (PRN) perlu diadakan.
Atas kemungkinan inilah maka SPR sudah mula menggerakkan jenteranya bagi meninjau pusat-pusat pembuangan undi di seluruh Negeri Perak, yang kebanyakannya di sekolah-sekolah.
Sasaran Muafakat Nasional (MN) adalah untuk merampas Negeri Perak dari PH sama ada dalam PRU15 ataupun PRN yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.
40 kerusi DUN Perak insyaAllah milik MN. – UMNO ONLINE
Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Dewan Undangan Negeri Slim
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
0 comments:
Post a Comment