Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terus menekan rakyat dengan memperkenalkan caj kesesakan kononnya bagi menghapuskan tol.
Tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, cara kerajaan PH mengambil alih empat lebuh raya sama seperti mendahulukan duit (advance) kepada syarikat konsesi.
“Ia dibuat menerusi terbitan bon dan ia sebenarnya ditanggung oleh rakyat. Apabila PH memperkenalkan caj kesesakan, ia bermakna rakyat perlu membayar untuk menggunakan lebuhraya ini walaupun kontrak syarikat konsesi sudah tamat.
“Ianya berbeza semasa pemerintahan Barisan Nasional apabila merobohkan plaza tol yang membawa maksud ‘tol dimansuhkan’.
“Banyak kali saya tanya mengenai caj kesesakan yang ditukar nama daripada kutipan tol. Bagaimana Guan Eng boleh kata rakyat dapat berjimat apabila rakyat kena menanggung pembayaran pinjaman serta faedah RM6.2 bilion itu serta diperlukan untuk terus membayar caj kesesakan setelah konsesi tol tamat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelumnya, Ka Siong turut membuat sidang media mengenai perkara yang sama di lobi Parlimen, di sini, tengahari tadi.
Tambah menjelekkan bidas Ka Siong, dahulu PH berjanji untuk memansuhkan tol tetapi kini mereka pula memperkenalkan tol untuk selama-lamanya serta tidak nampak apa rasionalnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbangga ianya tidak membebankan rakyat.
Begitu juga mengenai beberapa soalan tambahannya di Dewan Rakyat yang tidak mampu dijawab oleh Setiausaha Agung Dap itu.
“Sementara soalan tambahan saya mengenai ‘premium over book value’ gagal dijawab Guan Eng. Adakah Guan Eng sebagai akauntan ‘provinsional’ (sementara) tidak faham istilah ini?
“Ramai penganalisis yang berpendapat tawaran RM6.2 bilion itu adalah RM2.8 bilion lebih tinggi dari ‘book value’ atau nilai buku untuk empat lebuhraya tersebut.
“Itulah sebab menteri tak mahu jawab,” katanya.
Guan Eng juga ujarnya tidak mampu menjawab persoalan mengenai hasil pendapatan empat lebuhraya yang terlibat.
“Dia juga tak jawab soalan saya tentang pendapatan empat lebuhraya tersebut untuk setiap tahun sejak tahun 2015 kerana tahu bahawa trafik untuk semua lebuhraya tersebut semakin turun setiap tahun setelah projek penyambungan LRT1 dan LRT2 serta MRT1 dibuka dan tol di Lebuhraya Persekutuan dimansuhkan sepenuhnya.
“Tiga dari empat lebuhraya itu mengalami kerugian tiap-tiap tahun. Hanya Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP) yang masih untung.
“Trafik dijangka akan terus menurun dan kerugian akan bertambah besar pada masa hadapan apabila LRT3 dan MRT2 dibuka. Kenapa nak ambil alih syarikat-syarikat yang tidak untung? Oleh itu, menteri juga tak mahu jawab,” bidasnya.
Ka Siong juga hairan mengapa kerajaan PH tidak mahu menggunakan formula yang dilontarkan oleh Setiausaha Politik Guan Eng, Tony Pua.
“Dulu Setiausaha Politik Guan Eng, Tony Pua ada mengeluarkan formula khas untuk tol. Menurut formula Tony Pua, Lebuhraya MEX boleh diambil alih dengan nilai RM344 juta. Kenapa tak ambil alih MEX?
“Kalau ikut formula Tony Pua, kerajaan hanya perlu membayar RM300 juta saja untuk ambil alih LDP.
“Tetapi kenapa sekarang PH perlu memperuntukkan RM6.2 bilion untuk LDP dan tiga lagi tol yang tidak untung?” soalnya.
0 comments:
Post a Comment