KUANTAN, 23.6.2019 --
Hubungan PAS dan Umno ketika ini berada di peringkat ‘kerjasama’, dan
perbincangan lanjut akan diadakan bagi mewujudkan satu perjanjian politik, yang
hanya akan dimeterai selepas PAS benar-benar yakin wujud persefahaman antara
kedua-dua parti, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Yang penting persefahaman dahulu, sebelum tandatangan
(perjanjian)," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya Muktamar
Tahunan PAS ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini,
hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah pemeteraian
perjanjian politik dengan UMNO akan dilakukan.
Muktamar yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat
lalu antara lain meluluskan usul supaya pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura
Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO selain menyaksikan kebanyakan
jawatan penting parti berkenaan dimenangi tanpa bertanding dalam pemilihan.
Menyentuh kegusaran segelintir anggota parti mengenai
kemungkinan parti itu dikhianati sekali lagi oleh UMNO, Abdul Hadi
menyifatkannya sebagai "suara terpencil", dan pihaknya telah turun ke
negeri-negeri untuk berdialog bagi menerangkan soal kerjasama itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengumumkan Datuk Takiyuddin
Hassan dilantik sekali lagi sebagai Setiausaha Agung PAS manakala Kamaruzaman
Mohamad sebagai Ketua Penerangan menggantikan Nasruddin Hassan Tantawi.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment