KUANTAN, 21 Jun – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan
tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak timbul soal
mahu menyingkirkan sesiapa malah tidak wujud sebarang hasrat ke arah itu
berhubung cadangan pindaaan Perlembagaan UMNO.
Sebaliknya tegas beliau ahli parti akan diberikan ruang
secukupnya kerana UMNO adalah hak ahli parti dan sebarang keputusan mengenainya
dibuat menerusi mesyuarat agung luar biasa.
“Tidak betul itu… jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Datuk
Seri Ahmad Zahid dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled Nordin meminta
pandangan daripada seluruh negara… pandangan dikumpulkan dan dibawa kepada
mesyuarat pengurusan.
“Mesyuarat pengurusan membawanya kepada Majlis Tertinggi
(MT) tempoh hari dan di dalam MT kita katakan kita perlukan satu hari atau pun
dua hari untuk membincangkan pandangan berkenaan supaya ianya dapat dibahasakan
dan bila dibahaskan diperingkat MT, kita akan bawa ke bawah semula dan selepas
itu nanti barulah akan dibawa kepada mesyuarat agung luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian
Muktamar PAS ke-65, di Kompleks SUKPA, Kuantan, di sini, hari ini.
Turut serta barisan pimpinan kanan UMNO yang lain
termasuklah Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir
Khalid; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Setiausaha Agung
UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan lain.
Mohamad seterusnya menegaskan hasrat untuk membuat pindaan
perlembagaan parti adalah untuk membuka UMNO seluas-luasnya kepada orang ramai
supaya orang muda dapat menyertainya.
“Perkara itu memang tidak ditimbulkan dan kalau ada pun
ditimbulkan kita akan bincang dan akan gugurkan. Bagi saya kita jangan ambil
hak ahli dan biar ahli yang menentukan kepimpinan… biar ahli yang menentukan
parti itu sendiri. Parti ini kepunyaan ahli dan ahli parti yang tentukan. Jadi
ini akan dibahaskan.
“Jadi macam ada had-had seperti atau menghadkan jangka masa
kepimpinan, kalau ianya muda jadi ketua bahagian umur 40, tiga penggal baru 49
padahal ianya pemimpin yang baik. Kita tidak mahu melihat adanya kekangan dan
kita mahu buka supaya parti ini terbuka seluasnya kepada sesiapa sahaja yang
berminat untuk jadi ahli,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut memberitahu tidak
timbul persoalan sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid boleh merasmikan mesyuarat
UMNO bahagian atau sebaliknya.
“Sesiapa sahaja boleh merasmikan mesyuarat UMNO bahagian.
Jemputan daripada bahagian sesiapa sahaja pun boleh. Tidak timbul soal beliau
bercuti daripada tugas presiden … beliau masih lagi sebagai Ahli Parlimen Bagan
Datok dan masih lagi ketua bahagian.
“Bahkan elok beliau pergi… beliau masih lagi presiden parti
tetapi cuma bercuti daripada menjalankan tugas presiden. Beliau adalah presiden
yang sah dan yang dipilih oleh ahli semasa pemilihan UMNO 2018, cumanya bercuti
daripada menjalankan tugas-tugas presiden dan saya menanggungnya. Jadi tidak
timbul soal pertanyaan Datuk Zahid boleh atau tidak merasmikan mesyuarat,”
tambahnya lagi.
SUMBER – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment