SHAH ALAM: Naib Presiden Pas mendakwa tidak mustahil
pelantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada
masa akan datang dalam kalangan orang politik.
Datuk Iskandar Abdul Samad dalam status dimuat naik dalam
akaun Facebook miliknya dipercayai membuat sindiran itu merujuk kepada isu
pelantikan Latheefa Beebi Koya (Latheefa Koya) sebagai Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Akan datang… Datuk Bandar dan YDP PBT (Yang Dipertua pihak
berkuasa tempatan) orang politik. Apa susah lepas dilantik keluar parti, hilang
terus status orang politik,” tulisnya dalam status tersebut.
Terdahulu, dalam satu status yang turut dimuat naik dalam
akaun Facebook miliknya, Iskandar mendakwa beliau menyangka pelantikan Latheefa
sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah lawak jenaka dan berita
palsu.
Bagaimanapun, katanya beliau mendapat tahu pelantikan itu
benar selepas menyemak portal berita.
“Pada mulanya saya menyangka berita pelantikan Latheefa Koya
sebagai ketua baru SPRM adalah ‘fake news’ (berita palsu). Ataupun ia satu
lawak jenaka menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tetapi setelah menyemak sebuah
portal berita perlantikan itu adalah benar.
“Saya bukan hendak mempertikaikan kemampuan, kebolehan atau
integriti Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu tetapi beliau adalah orang
politik. Saya tidak tahu jawatan beliau sekarang tetapi beliau pernah memegang
pelbagai jawatan di dalam PKR,” tulisnya dalam status tersebut.
Iskandar mempertikaikan perkara itu kerana menurutunya,
sebuah badan yang turut akan menyiasat orang politik sepatutnya tidak diketuai
oleh orang politik.
“Bukankah sebuah badan yang akan turut menyiasat orang politik
sepatutnya tidak diketuai oleh orang politik?
“Walaupun Latheefa mungkin dapat berlaku adil namun ia pasti
akan membuka ruang kepada pelbagai dakwaan apabila berlaku pendakwaan atau
apabila terdapat kes yang dilepaskan.
“Sama ada wajar atau tidak sesuatu dakwaan itu namun ia
tetap akan mewujudkan pelbagai persepsi,” katanya lagi.
Beliau berkata, SPRM akan sentiasa dipertikaikan dan perkara
tersebut tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut.
“Ia juga tidak baik untuk imej negara di peringkat
antarabangsa.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya melantik seorang
tokoh yang berkecuali iaitu tanpa sebarang hubungan dengan mana-mana politik
sama ada di masa kini atau di masa yang lampau dan yang dihormati oleh
masyarakat. Saya yakin terdapat ramai yang memenuhi kriteria tersebut,”
katanya.
Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu
berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang
memilih untuk memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.
Sumber:
0 comments:
Post a Comment