Zakaria Hanafi, 58, mewakili Barisan Nasional bagi merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac dengan menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Zakaria akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh Mohd Aiman Zainali; Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan Bebas Khuan Chee Heng.
Dalam penamaan calon yang berlangsung pada 9 pagi, Zakaria menerima sokongan moral daripada pemimpin BN dan PAS antaranya Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Semenyih Datuk Mohd Sayuthi Bakar, pada kira-kira 10.25 pagi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang, kira-kira 12 kilometer dari pekan Semenyih.
Proses pencalonan yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.
Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK Semenyih mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.
PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
PRK Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 pada Mei tahun lalu – yang pertama di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan PSM.
0 comments:
Post a Comment