Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) UMNO sekata dengan penulisan Penasihat Media Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin bahawa penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi mencerminkan kekurangan dalam tadbir-urus ekonomi negara.
Dalam hal ini, JKS juga beranggapan ia menunjukkan kepincangan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, Bank Negara dan tokoh-tokoh yang dilantik mengetuai beberapa GLC, misalnya PNB dan Khazanah Nasional.
“Kami ingin mempersoalkan kenapa Perdana Menteri (PM), yang memiliki pengalaman 22 tahun mentadbir negara sebagai PM keempat, gagal mengenal pasti kelemahan serta kekangan ekonomi yang kita hadapi.
“Mengapakah pemilihan tokoh-tokoh ini dibuat secara ‘tangkap muat’, dan di manakah pakar ekonomi yang seharusnya membantu kerajaan PH dalam pengurusan fiskalnya?
“Selepas sembilan bulan memerintah, serangan kemelesetan ekonomi dunia terus dipersalahkan dan dijadikan ‘helah politik’ terhadap kenaikan harga barang, kemerosotan rizab antarabangsa, penyusutan nilai ringgit dan ketidakstabilan pasaran saham,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Soalnya, dimana sebenarnya kewarasan pentadbiran ekonomi di bawah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan penasihatnya yang dikatakan memiliki ilmu yang tinggi di bidang ini?
“Usahlah menggunakan Majlis ini sebagai modal menutup kelemahan sendiri, misalnya dengan terus menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya tidak memberi sumbangan langsung terhadap sistem kewangan negara.”
Selaras itu, JKS mengesyorkan agar kerajaan menghentikan usaha menarik simpati rakyat ini, dan sebaliknya menumpukan perhatian terhadap tugas untuk mereka.
“Dr Mahathir mempunyai Tun Daim sebagai bekas Menteri Kewangan dan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa. Jika merekalah yang didakwa mempunyai kepakaran memulihkan ekonomi negara, maka tidak perlulah melantik orang baru bagi potfolio ini.
“Majlis Tindakan Ekonomi ini wajar digunakan untuk mencari formula baru bagi mengatasi kelemahan sendiri dan bukannya dengan meletakkan kesalahan itu pada orang lain,” katanya lagi.
A. Kadir dalam blognya The Scribe A. Kadir Jasin hari ini dipetik berkata penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi membuktikan kelemahan Pakatan Harapan dalam menangani isu ekonomi negara dan kebajikan rakyat yang secara langsung mengakui bahawa jentera sedia ada, khususnya Kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.
Menurut A. Kadir, realitinya selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.
0 comments:
Post a Comment