Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu menjadi bukti bahawa anak muda adalah antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) apabila mereka beralih sokongan dengan mengundi Pakatan Harapan (PH).
Golongan muda menaruh harapan setelah pucuk pimpinan bertukar, negara dan kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik apatah lagi PH menjanjikan seribu satu janji yang begitu manis didengar.
Antara janji yang dibuat kerajaan PH khusus kepada golongan muda termasuklah pemansuhan PTPTN, satu juta peluang pekerjaan, perumahan golongan muda, pemansuhan tol, harga minyak di bawah RM1.50 dan pengurangan kos sara hidup namun sehingga kini gagal ditunaikan.
Kini, setelah lebih sembilan bulan pucuk pimpinan negara bertukar, adakah anak muda berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan ‘Malaysia Baru’ dan masih menolak BN?
UMNO-Online telah melakukan tinjauan di sekitar Semenyih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini dan jelas anak muda sebenarnya kini amat menyesal kerana telah terpedaya dengan janji ‘bulan dan bintang’ PH.
Amirul Roslan, 28, berkata, sebenarnya masih ramai anak muda yang sayangkan dan sokong BN cuma semasa PRU-14 mereka terlalu mengikut emosi.
“Sekarang anak muda sudah boleh nampak. Janji PH hanya janjikan bulan dan bintang, jadi kami kembali mengharapkan BN,” katanya.
Muhammad Azizi Jaafar, 25, pula mengakui dirinya sendiri terpedaya dengan janji PH.
“PRU-14 saya undi PH sebab saya ingat PTPTN tidak perlu bayar, tol juga akan hapus. Maklumlah, bila nak balik rumah di Semenyih ni, semua jalan kena tol tapi rupanya saya kena tipu.
“Sekarang, saya satu keluarga akan mengundi BN. Maafkan saya kerana jadi punca BN hilang kuasa,” akuinya.
Hamdan Lokman Hakim, 23, turut mengatakan bahawa anak muda kini menyesal dengan gula-gula pilihan raya yang dijanjikan PH.
“Anak muda sekarang sudah bangkit. Dulu saya sendiri terpedaya dengan gula-gula yang dijanjikan seperti hapus tol dan PTPTN, jadi bila tidak ditunaikan anak muda mahu kembali kepada BN. Dulu ingat bila bertukar akan ada perubahan tapi sayangnya tidak ada,” luahnya.
Seorang lagi anak muda yang ditemui, Norafizah Shahrizan, 19, memberitahu berdasarkan kepada apa yang berlaku, generasi muda kini sudah dapat menilai yang mana intan dan yang mana kaca.
“Mustahil anak muda tidak sokong BN apatah lagi sekarang ini sudah nampak jelas anak muda semakin sokong BN sebab anak muda semakin dapat menilai siapa yang lebih baik memerintah.
“Tengok sahajalah sambutan anak muda di Semenyih ini. Kami tidak mahu tertipu lagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment