Kuantan : Hutan gambut seluas kira-kira 40
hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng, terbakar dipercayai akibat tindakan
sekumpulan pemancing meninggalkan punca kebakaran berkemungkinan besar puntung
rokok atau unggun api.
Usaha memadam kebakaran dipercayai bermula
kira-kira jam 2 petang semalam itu, berhampiran sebuah tasik di situ sedang giat
dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Gebeng
Emergency Mutual Aid (GEMA).
Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad,
berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.28 petang semalam memaklumkan
kebakaran di hutan gambut di Kawasan Perindustrian Gebeng seluas 101 hektar.
Berdasarkan maklumat awal, katanya, ia
dipercayai akibat aktiviti memancing kerana ada beberapa pemancing dilihat
keluar dari kawasan hutan yang terbakar berhampiran sebuah tasik.
“Setakat ini 40 hektar daripada 101 hektar
kawasan terbakar, operasi kita tertumpu kepada tiga kaedah utama iaitu membina
saliran dan takungan bagi mengalirkan air untuk meningkatkan paras air supaya
ia sama paras dengan tanah.
“Usaha memadam kebakaran giat dilakukan
bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran dan menyebabkan keadaan berasap
sekali gus menghadkan tahap penglihatan pemandu di sekitar daerah ini.
“Kita turut meletakkan anggota berhampiran
Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan bagi mengelakkan api melarat ke Taman Perindustrian
Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan menyebabkan keadaan panas kepada pengguna
jalan raya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata, seramai 21 anggota
bomba dibantu 14 anggota bantuan daripada pihak industri di Kawasan
Perindustrian Gebeng membantu memadam dan mengawal kebakaran termasuk meminjam
kemudahannya untuk melancarkan operasi.
“Kita mempunyai dua jentera selain dibantu
jentera dari Lynas (Corporation Ltd) dan PETRONAS Chemicals MTBE dan mendapat
bantuan pihak industri yang menyediakan dron untuk meninjau keadaan semasa
kebakaran. Kita turut memantau pergerakan angin sejak awal pagi tadi.
“Justeru, kita menasihatkan orang ramai
terutama di sekitar Pusat Perindustrian Gebeng supaya mengambil langkah berjaga-jaga
antaranya minum air dengan banyak bagi mengelakkan hidrasi,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya
tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas yang boleh menyebabkan
kejadian kebakaran di tempat terbuka sehingga memberi kesan kepada jarak
penglihatan.
“Mengikut rekod sejak minggu lalu, trend
kebakaran mula meningkat dengan 24 laporan diterima pada Sabtu lalu, manakala
Ahad (20) dan semalam pula 19 laporan.
“Ada tiga lokasi berlaku kebakaran skala
besar iaitu di sini, ladang di Muadzam Shah, Rompin membabitkan hutan seluas
lapan hektar dan laluan di Nenasi, Pekan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment