Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 31, 2018

PERUTUSAN YAB MENTERI BESAR PAHANG, DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL SEMPENA TAHUN BAHARU 2019







Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tahun 2018 telah melabuhkan tirainya dan tahun kini tahun 2019 telah menjelma.

Dalam melangkah masuk tahun baharu 2019, petanda-petanda negatif berkaitan ekonomi negara telahpun kelihatan dengan sebahagian besar penganalisis meramalkan sedemikian.

Kerajaan Persekutuan mungkin mungujurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4.9 peratus pada tahun 2019, tetapi realitinya, mungkin setakat 4.5 peratus sahaja.

Dengan pertumbuhan yang semakin perlahan ini, sudah tentu ia akan memberi kesan negatif kepada kehidupan sosio-ekonomi terutamanya rakyat.

Lebih membimbangkan adalah peningkatan kadar pengangguran yang dijangka terus meninggi pada tahun 2019 dengan jumlah seramai 514,000 orang penganggur berbanding 502,600 orang pada tahun 2017.

Selain daripada itu, pada tahun 2019 juga, Kelembapan Pengembangan Ekonomi Global (Slower Economic Expansion Globally) dijangka memberi kesan buruk kepada kemasukan pelaburan langsung asing (F.D.I) ke negara ini.

Pada tahun 2016 dan 2017, F.D.I telah merosot sebanyak 12 peratus atau kekurangan kira-kira RM 6,000 Juta.

Berdasarkan senario yang agak kelam dan suram ini, sudah tentulah kita perlu mempersiapkan diri kita di bumi Pahang ini khususnya untuk mengharungi dan menghadapinya.

Namun begitu, paling utama kita perlulah memelihara perpaduan yang telah sekian lama terjalin dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan latar kerjaya.

Dalam pada masa yang sama, bersama-samalah dengan kerajaan yang ada khususnya di negeri Pahang ini dengan memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan apa jua program dan dasar pembangunan yang dicadang dan dilaksanakannya.

Saya turut menyarankan agar para penjawat awam khususnya dalam pentadbiran Kerajaan Negeri supaya mengamalkan penjimatan dalam perbelanjaan.

Oleh itu, semoga segala cabaran yang dihadapi pada tahun 2018 menjadi inspirasi buat kita untuk bergerak lebih maju kehadapan pada tahun 2019 ini.

Saya turut berdoa agar semoga usaha Kerajaan Negeri untuk membawa kemakmuran kepada negeri demi mensejahterakan rakyat, akan terus menerima sokongan semua, InsyaAllah.

0 comments:

share2