AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato' Mustapa Long (kanan) melihat pelbagai jenis produk rotan yang diusahakan Che Nab Lazim (kiri) di Kampung Sungai Temau, Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Seorang suri rumah, Che Nab Lazim, 58, di Kampung Sungai Temau dekat sini mengisi aktiviti hariannya dengan menghasilkan produk kraf tangan berasaskan rotan bagi menambah pendapatan keluarga sejak harga getah merudum.
Che Nab yang memulakannya secara sambilan sejak dua tahun lalu memberitahu, dia kini melakukan pekerjaan itu secara serius sejak tidak lagi keluar membantu suaminya, Mat Mahamud, 71, menoreh di kebun getah.
“Sebelum ini, kerja kraf tangan seperti membuat bakul, lekar (pengalas periuk), tikar, bekas telur, tepak sirih, topi dan bekas barang dapur dilakukan secara sambilan pada sebelah petang.
“Kini selepas harga getah jatuh, saya mula membuat kraf tangan secara komersial. Inilah cara untuk menambah pendapatan suami dalam berbelanja seharian seperti keperluan dapur,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Temau dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak meng-
hadapi masalah untuk menyiapkan kraf tangan itu kerana memperoleh kemahiran daripada tunjuk ajar ibunya sejak usia muda.
“Saya tidak ada alternatif pekerjaan lain yang perlu dibuat melainkan usaha membuat pelbagai jenis kraf tangan ini untuk menampung pendapatan keluarga lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan kenaikan harga barang,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, selain bakul bekas barang, dia juga tidak menang tangan bagi memenuhi tempahan pelanggannya apabila setiap kali diadakan majlis perkahwinan atau pertunangan.
“Kebanyakan pelanggan menempah kraf tangan berbentuk pasu bunga hiasan dalaman, bekas mengisi cincin merisik dan bertunang, bakul cenderamata, tabung duit syiling dan bekas wang kertas.
“Harga jualan bahan kraf tangan ini antara RM15 hingga RM150 bergantung kepada saiz dan corak anyaman rotan. Selain jualan di pekan sehari di Padang Tengku, kebiasaannya pelanggan dari Kuala Lipis, Merapoh dan Gua Musang (Kelantan) datang menempah,” katanya.
Dalam pada itu, Che Nab berharap agensi berkaitan usahawan kraf tangan dan kerajaan dapat membantu dari aspek kemudahan seperti mesin larik, memotong rotan dan buluh termasuk sebuah bengkel supaya kerja itu dilaksanakan dengan cepat berikutan permintaan pelanggan semakin meningkat termasuk jualan di pekan sehari.
0 comments:
Post a Comment