MESKIPUN bukan pertandingan di peringkat Pusat, pemilihan UMNO Bahagian Maran mencuri tumpuan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, DATO' SRI SHAHANIZA SHAMSUDDIN menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian berkenaan.
Dalam sejarah UMNO, tidak ramai wanita yang mencabar dan memegang jawatan tersebut. Jika nasib memihak kepadanya, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang itu mencipta sejarah menjadi wanita pertama di negeri berkenaan menjadi Ketua UMNO Bahagian.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan jurufoto, MAHATHIR ALI berpeluang bertanya kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran tersebut antara lain tentang hasratnya untuk bertanding dan asas beliau memutuskan demikian.
UTUSAN: Apakah faktor yang mendorong Datuk Seri menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran?
SHAHANIZA: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dua daripada empat kerusi yang dipertandingkan di Maran. Kita hendak pastikan UMNO kembali dipulihkan yang mana jentera parti perlu diberi nafas baharu untuk kita membuat pendekatan baharu. Saya tidak katakan saya yang terbaik tetapi boleh menggunakan formula yang digunakan di Kuala Sentul untuk dikongsikan. Jadi, saya perlu menjadi seorang ketua bagi membolehkan saya melaksanakan idea dan pendekatan yang bersesuaian.
Mengapa tidak bertanding di peringkat lebih tinggi?
Bahagian UMNO merupakan akar umbi kita, kalau akar tidak kuat atau mati, batang, dahan dan pucuk pun akan mati akhirnya. Sebab itu kalau membaja pokok, jika melakukannya di bahagian akar. Saya melihat peranan dan tanggungjawab saya besar untuk memulihkan UMNO bermula di peringkat bahagian.
Tidakkah pertandingan ini boleh mengundang perpecahan dalam bahagian?
Saya menawarkan diri untuk memberi pilihan. Persepsi sebelum ini dalam UMNO itu sendiri apabila berlaku pertandingan, akan memecahbelahkan atau mewujudkan puak. Namun bagi saya insya-Allah akan membawa ke arah penyatuan.
Lazimnya jawatan ini disandang oleh golongan lelaki. Bagaimana Dato' Sri melihat perkara ini?
Saya kira soal gender tidak perlu dipertikaikan selagi dia dapat memberikan perkhidmatan terbaik. Dalam politik, saya diasuh oleh mereka yang berpengalaman termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob. Pengalaman daripada asuhan-asuhan inilah yang saya rasa dapat cantumkan satu formula untuk membawa kebaikan kepada UMNO Bahagian Maran.
Apakah sudah sedia menerima sebarang keputusan jika nasib tidak menyebelahi Dato' Sri dalam pemilihan kali ini?
Apabila jadi seorang pejuang, kita terima apa sahaja cabarannya. Saya bersedia menerima sebarang keputusan. Jika kalah, saya menjadi ahli UMNO biasa tetapi saya masih lagi Exco Kerajaan Negeri Pahang, ADUN dan masih boleh memberi khidmat serta sumbang bakti. Cuma dalam kapasiti yang terhad.
0 comments:
Post a Comment