Semasa menjawab soalan wartawan pada sidang media bertarikh 31 Mei lalu, Lim Guan Eng telah berbohong dengan mendakwa bahawa peruntukan bonus Aidilfitri sebanyak RM500 untuk kakitangan awam dan RM250 untuk pesara kerajaan tidak disebutkan dalam Bajet 2018. Beliau bahkan menyatakan bahawa bonus RM400 untuk kakitangan gred 41 ke bawah sahaja dan RM200 yang ditetapkan kerajaan Pakatan perlu dibentangkan nanti di persidangan parlimen akan datang sebagai perbelanjaan tambahan melalui Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan.
"Yang ini bukanlah dalam bajet 2018, kita pun dah semak. Itulah sebabnya kita perlu buat Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan". "Yang RM400 pun kena pohon tambahan".
Apakah Guan Eng sengaja berbohong walhal pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat disiarkan di kaca TV dan begitu banyak rakaman dan liputan berita di Internet dengan ucapan bekas Perdana Menteri menyatakan dengan jelas peruntukan RM500 dan RM250 itu yang akan diberikan kepada kakitangan awam dan pesara kerajaan menjelang Hari Raya?
Rang Undang Undang Perbekalan 2018 bahkan telahpun dibentangkan di Dewan Negara oleh bekas Menteri Kewangan ke 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dibahaskan selama lima hari bermula 4 Dis 2017 dan diluluskan sebulat suara anggota Dewan Negara, kemudiannya diwartakan sebagai Akta Perbekalan 2018. Mengapa Guan Eng berbohong dengan fakta yang boleh dicari dengan mudah di Internet ini?
Apakah Guan tidak tahu bahawa Jabatan Akauntan Negara telahpun mengeluarkan surat pekeliling Bilangan 5 Tahun 2017 yang disiarkan bulan Disember tahun lalu, yang boleh diakses melalui laman web rasmi ANM ini?
Tidak syak lagi Menteri Kewangan yang sedang dibicarakan di mahkamah atas DUA pertuduhan rasuah itu telah berbohong kepada seluruh kakitangan awam dan pesara kerajaan!
Di dalam pekeliling JANM bil ke 5 bukan sahaja menyatakan dengan jelas jumlah RM500 untuk SEMUA kakitangan awam dan RM250 untuk pesara seperti yang termaktub di dalam Akta Perbekalan 2018 itu, bahkan telah ditetapkan tarikh pembayaran iaitu pada, 7 Jun 2018, kaedah pembayaran, dan kod urusniaga.
Pernyataan Guan Eng bahawa peruntukan tambahan perlu dibuat untuk bayaran RM400 yang hanya akan diberikan kepada kakitangan gred 41 dan ke bawah itu sahaja adalah pembohongan yang melampau terhadap kakitangan awam kerana jelas dinyatakan dalam pekeliling bahawa peruntukan tambahan perlu dibuat sekiranya peruntukan tahun 2018 TIDAK MENCUKUPI, bukannya untuk memberikan bonus tersebut.
Di bawah perkara 3.2 dinyatakan:
Kementerian/Jabatan hendaklah membayar Bayaran Khas Tahun 2018 menggunakan peruntukan tahun 2018. Sekiranya peruntukan ini tidak mencukupi, permohonan peruntukan tambahan hendaklah dibuat kepada Perbendaharaan.
Mengapakah wang yang telahpun disediakan peruntukannya sebanyak RM500 seorang itu "dicuri" RM100 dari setiap seorang kakitangan kerajaan dari yang bergaji RM1200 sebulan sehingga yang bergred 41 yang mana gaji minimumnya dalam lingkungan RM2100 itu? Manakala untuk kakitangan yang bergaji RM3600 (gred 44) dan ke atas di ambil keseluruhan bonus RM500 yang telah diperuntukkan untuk mereka untuk tujuan apa? Tidak cukup dengan itu, peruntukan RM250 untuk setiap pesara kerajaan juga dirampas RM50 setiap seorang oleh pihak kerajaan hari ini untuk apa? Apakah kerajaan tidak peka akan keperluan mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi?
Di dalam sidang media itu juga Guan Eng berulang ulang kali menyebut hutang kerajaan yang kononnya disembunyikan selama ini berjumlah RM1 trilion, dan alasan inilah yang telah digunakan olehnya untuk menjustifikasikan segala potongan terhadap bonus, pembatalan projek, penangguhan janji pilihanraya dan sebagainya. Sungguh malang apabila ramai yang percaya bahawa jumlah RM1 trillion itu adalah jumlah hutang kerajaan, walhal ia telah dicampur dengan liabiliti kerajaan seperti PPP, lease payment dan jaminan kerajaan yang tidak pernahpun dikira sebagai hutang kerajaan oleh mana mana negara di dunia ini dan juga agensi agensi kewangan antarabangsa. Bahkan Lim Guan Eng sendiri semasa menjadi Ketua Menteri mengisytiharkan Pulau Pinang memiliki 0% hutang sedangkan apa yang sebenarnya terjadi ialah kerajaan pusat menukarkan hutang aset air Pulau Pinang sebanyak RM655 juta kepada LEASE PAYMENT sebanyak RM14.55 juta setahun selama 45 tahun. Mengapa dia menggunakan definisi hutang yang berlainan kini untuk kerajaan Malaysia? Jumlah liabiliti dan jaminan kerajaan juga sebenarnya telah lama disiarkan oleh Bank Negara malah boleh diakses oleh sesiapa sahaja di laman web Bank Negara. Ini juga telah disahkan sendiri oleh Tan Sri Zeti. Selain soal hutang, apa yang perlu juga dilihat ialah kemampuan kerajaan untuk membayar hutang, dan kerajaan sebenarnya terbukti mampu membayar hutang yang perlu dibayar, iaitu hanya 12% dari jumlah pendapatan negara.
Persoalannya mengapa Menteri Kewangan berbohong soal hutang 1 trillion, diulangi dari masa ke semasa? Mengapa berbohong soal bonus kakitangan awam dan pesara malah mengambil wang yang telah diperuntukkan untuk mereka? Dan mengapa ramai yang berdiam diri?
0 comments:
Post a Comment