Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 8, 2018

HISHAMMUDDIN UMUM TIDAK TANDING JAWATAN PARTI



Hishammuddin Umum Tidak Tanding Jawatan Parti



Setelah timbul pelbagai teka teki mengenai masa depan dirinya menjelang pemilihan jawatan UMNO pada hujung bulan ini, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tampil membuat kejutan.

Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu secara rasmi mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Bekas Menteri Pertahanan yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong membuat pengumuman berkenaan dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat UMNO Negeri Johor di Johor Bahru pagi Jumaat.

Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Semberong sebaliknya berkata, akan terus bekerja keras dan memberi komitmen sepenuhnya dalam membangunkan parti di peringkat negeri.

“Saya sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, itu adalah suara rakyat. Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka.

“Justeru, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini,” kata anak bekas presiden UMNO dan perdana menteri itu.

Bagaimanapun Hishammuddin turut menyatakan komitmen untuk tetap meneruskan perjuangan dalam UMNO dan keputusan ini bukan penamat bagi kerjaya politik diri beliau selepas ini.

“Karier politik saya tidak berakhir, saya terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan tidak akan keluar parti. Jawatan bukan perkara paling penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya.

Hishammuddin turut menyatakan sokongan penuh beliau kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan kali ini.


BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH DATUK SERI HISHAMUDDIN:

Saya sedar dan insaf dengan keputusan PRU14 yang lalu yang tidak menyebelahi Barisan Nasional. Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka.

Ia memberi isyarat yang jelas bahawasanya UMNO tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa dan menuntut kepada perubahan pendekatannya secara total. Saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti terhadap kekalahan tersebut.

Dalam masa kita menerima keputusan PRU14, UMNO kini berada dalam peringkat pemilihan parti. Masa yang amat sesuai untuk UMNO mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorak kepimpinannya. Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa UMNO ke hadapan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin.

Justeru, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini. Sebaliknya saya akan bekerja dengan lebih keras untuk membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor.

Saya berikrar untuk tetap bersetia bersama-sama UMNO sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih oleh para ahli menjelang 30hb yang akan datang.

Saya juga telah bercakap dengan Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin tentang perkara ini serta berbincang bagaimana untuk saya terus menyumbang kepada parti. Mereka faham serta menghormati keputusan tersebut.

Perjuangan sekali ini bukan mengenai individu tetapi kekuatan berpasukan. Perjuangan sekali ini bukan mengenai kedudukan tetapi sumbangan. Marilah kita ambil isyarat PRU14 ini sebagai semangat dalam membina UMNO yang lebih dekat di hati rakyat.


0 comments:

share2