Ibarat paku dulang paku serpih, kata orang tapi dia yang lebih.
Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang kononnya dikatakan penyelamat rakyat daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, PH lantang bersuara mengutuk tindakan kerajaan terdahulu itu kononnya menggajikan terlalu ramai staf untuk kepentingan politik yang digelarnya sebagai ‘lantikan politik’.
Malah, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga selepas beberapa hari berkuasa mengumumkan bahawa kerajaan PH menamatkan kontrak 17,000 staf lantikan politik ini.
Jelasnya, langkah itu kononnya lagi diambil bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan berikutan terlalu banyak pembaziran semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, tular di media sosial sejak semalam mengenai satu paparan skrin dari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa Menterinya, Dr. Maszlee Malik mempunyai seramai 10 orang Pegawai Khas.
Perkara itu jelas menimbulkan persoalan ramai netizen terutama sekali mengenai keperluan Dr. Maszlee yang berjaya mempunyai jumlah Pegawai Khas seramai itu.
Lebih menarik, bilangan kakitangan bagi jawatan tersebut tidak termasuk Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Setiausaha Sulit (SUS) dan Setiausaha Akhbar (SUA) bagi menteri.
Kesahihan senarai pegawai untuk menteri baharu itu masih belum lagi dapat disahkan namun sudah tersebar dengan luas di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Jika perkara ini benar, ia jelas kelihatan pelik dan membingungkan buat ramai pihak memandangkan kerajaan PH sebelum ini terlalu pantas bertindak menamatkan kontrak kakitangan awam terdahulu.
Lebih menyedihkan, kontrak kakitangan awam itu ditamatkan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang menyaksikan mereka semua terpaksa menyambut perayaan dalam suasana sedih.
Perkara ini juga menyebabkan netizen membuat spekulasi sama ada kakitangan awam sebelum ini dibuang demi memuatkan kerajaan baharu dengan staf lantikan politik mereka tersendiri.
Jika difikirkan secara logik, mengapa Dr. Maszlee memerlukan pegawai khas seramai itu? Bukankah ini juga satu pembaziran untuk pihak kerajaan PH sendiri yang mahu berjimat-cermat?
Orang ramai juga kini mahukan penjelasan daripada Dr. Maszlee sendiri mengenai tugas sebenar 10 orang pegawai khas ini dalam kementerian berkenaan.
Adakah pegawai-pegawai ini dilantik kerana mereka merupakan pendukung setia kepada parti dan juga menteri? Atau mereka ini hanya pembantu yang hanya dilantik untuk mengikuti ke mana sahaja Dr. Maszlee berada?
Dalam pada itu, tinjauan ke laman web KPM hari ini juga menyaksikan senarai kakitangan pejabat menteri itu telah dikemas kini dan tiba-tiba hanya tinggal seorang sahaja pegawai khas kepada Dr. Maszlee.
Netizen menerusi laman Twitter juga menyedari perkara itu dan bingung apabila senarai panjang berkenaan telah berubah dramatik seolah-olah dikemaskini sejak isu ini tular.
Sehingga kini, Kementerian Pendidikan serta Dr. Maszlee masih belum memberikan penjelasan mengenai perkara kontroversi itu.
Sekiranya ini semua benar, sudah terang lagi bersuluh kerajaan PH juga sama sahaja mengamalkan pembaziran dalam pentadbiran mereka walhal selama ini terlalu lantang menuduh BN berbuat demikian.
0 comments:
Post a Comment