Sebanyak seribu benih ikan kelah dan dua puluh ribu benih ikan lampam yang dibekalkan Jabatan Pertanian Malaysia dilepaskan di Taman Rekreasi Cik Minah Sayang, Lubuk YU, baru-baru ini.
Pelepasan benih-benih tersebut diadakan bersempena Program Perjumpaan Hammockers kali ke 3, 2017 yang dihadiri 100 para Hammockers dan peminat aktiviti hammock, seluruh Malaysia.
Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin berkata, pelepasan benih-benih ikan tersebut bertujuan memelihara ekosistem Lubuk Yu sekali gus menangani masalah benih-benih ikan air tawar yang semakin pupus.
Sementara itu, mengulas mengenai perjumpaan tersebut, Shahaniza berkata, Hammock atau buaian bukanlah sesuatu yang baru cuma ia dibuat lebih kukuh dan boleh menampung berat lebih 200 kilogram bagi membolehkannya digunakan sebagai tempat tidur ketika berkhemah.
"Sudah tiga tahun saya menyertai Hammockers Gathering di Lubuk Yu. Namun, baru kini saya betul-betul menikmati keseronokan dibuai dibawah rimbunan pepohon sambil ditiup angin sepoi bahasa dan desir air yang mengalir.
"Beberapa saat pertama diayun buaian ini, memang pengalaman yang sungguh menakjubkan. Hilang segala beban di kepala. Hati rasa berbunga. Kalau saya berada di buaian yang paling tinggi, sudah pasti saya akan menyanyi lagu Pohon Beringin sekuat hati," katanya.
Beliau turut menyempurnakan upacara perasmian program dengan pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah dan praktikal disediakan untuk pengetahuan para pengembara dan pengguna hammock.
Ia bagi persediaan peserta sekiranya mendapat kesusahan semasa pengembaraan.
Antaranya adalah sessi perkongsian ilmu, ilmu mengenal dan menangani binatang berbisa dan berbahaya di hutan, ilmu asas survival di dalam hutan sekiranya peserta sesat atau kecederaan dan beberapa aktiviti menarik lagi.
0 comments:
Post a Comment