KERAJAAN yang baru ditubuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 masih belum teruji dengan krisis dan masalah yang benar-benar menguji kewibawaan.
Kerajaan persekutuan yang ditubuhkan oleh PH masih lagi dalam mode bulan madu dan segala kesilapan masih boleh dielak dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.
Masih belum ada isu mencabar dalam negara, serantau atau peringkat lebih global yang dihadapi oleh Malaysia seperti kerajaan sebelum ini.
Kalau diukur mengikut jawapan-jawapan mengelak dan lucu sejak memegang jawatan di Putrajaya, rakyat perlu bimbang dengan prestasi kerajaan baharu ini.
Kita boleh nampak yang mereka hanya mengikut apa yang dilakukan dan diarahkan oleh ketua mereka, sama ada Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jawapan-jawapan standard yang ringkas seperti diulang oleh jurucakap mereka terutama di media sosial amat tidak meyakinkan.
Mereka masih terus mengulang-ulang “asalkan Najib jatuh” dan “perlukan masa kerana hutang sangat besar” walaupun sudah lebih sebulan menjadi kerajaan.
Kita perlu bimbang kalau mereka menyerahkan hubungan awam mereka kepada tentera-tentera siber yang menggunakan kaedah sindir, kecam, memprovok emosi dan trol dalam mempertahankan kerajaan PH atau menyerang musuh.
Memang mereka sangat selektif, mengecam sekeras-kerasnya kesilapan orang lain tapi mendiamkan kesilapan mereka sendiri.
Bayangkan bagaimana masalah besar akan dihadapi oleh kerajaan PH dengan sikap dan pendekatan sebegini?
Datuk Seri Najib Tun Razak melalui ujian besar kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 ditembak jatuh.
Kedua-dua insiden ini meletakkan Malaysia tersepit antara kuasa-kuasa besar dunia, yang memerlukan pendekatan berhati-hati untuk ditangani.
Mereka sering melaungkan kebebasan bersuara, tetapi mereka masih belum diuji dengan ketahanan terhadap kebebasan bersuara yang menggugat atau mengecilkan hati mereka sendiri.
Kerajaan PH masih dalam keadaan gembira melampau selepas menang pilihan raya, dan tempoh yang mencabar belum tiba lagi.
Kerajaan PH ini akan benar-benar teruji apabila ujian-ujian ini datang nanti, sehingga ada yang nampak menggugat populariti dan undi mereka.
Masa itu kita rakyat Malaysia boleh melihat wajah sebenar mereka, kerana orang yang mempertahankan kuasa jauh lebih garang daripada yang tidak ada kuasa tetapi sedang mengejar kuasa.
0 comments:
Post a Comment