Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 28, 2018

DPMM PAHANG WUJUD TABUNG BANTU PENIAGA



Tabung Pembangunan



Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang mewujudkan Tabung Pembangunan Usahawan Dewan sebagai inisiatif membantu anggotanya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Timbalan yang Dipertuanya, Wan Alhamdulillah Wan Abd Rahman berkata idea tabung berkenaan dicetuskan oleh Pemangku Raya Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa menghadiri majlis makan malam bersama badan itu Mei lepas antara lain untuk membantu lebih ramai golongan bumiputera untuk terlibat dalam bidang berkenaan.

“Berikutan itu kita mewujudkan satu tabung pembiayaan mudah dengan dana sebanyak RM50,000 tahun ini dan kita memberikan pinjaman tanpa faedah antara RM500 sehingga RM3,000 untuk anggota yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membayar sewa atau membeli mesin.

“Pinjaman ini perlu dibayar dalam masa 10 bulan dan untuk tahun ini sahaja kita menyasarkan seramai 20 hingga 20 anggota akan mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Adilfitri DPMM di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Yang Dipertuanya, Yusri Yusof.

Pada majlis berkenaan Yusri turut menyampaikan cek pinjaman berjumlah RM4,000 kepada dua anggotanya, Sapar Hariah Abd Rajab dan Ahmad Fauzi idris.

Katanya tabung berkenaan juga diwujudkan untuk mengelakkan anggotanya terlibat dengan pinjaman wang berlesen dengan Ahlong yang boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan masalah yang lebih serius.

“Kita dapati peniaga kecil-kecilan ini susah untuk membuat pinjaman kecil-kecilan sehingga ada yang menyebabkan mereka terjebak dengan pinjaman Ahlong, jadi dengan adanya tabung ini, ia diharap dapat membantu menyelesaikan masalah itu,”katanya.

Dalam masa yang sama, katanya pihak DPMM juga sedang berusaha meningkatkan lagi dana tabung bagi membantu lebih ramai anggotanya.


0 comments:

share2