Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 20, 2018

DI DEPANNYA DURI, DI BELAKANGNYA API






Bertanding pada jawatan nombor dua tidak pernah ada dalam pemikiran saya selama ini. Namun dalam tempoh 24 bulan, parti keramat ini kehilangan naib presiden, timbalan presiden dan terbaru Presiden UMNO

Dan dalam tempoh yang sama, UMNO kehilangan kuasa pemerintahan setelah tujuh dekad di tampuk kuasa. Tiada ujian yang lebih besar dari apa yg sedang UMNO lalui pada masa ini

Apabila saya melihat keliling saf pimpinan UMNO hari ini, baru saya sedari, rupa-rupanya saya telah menjadi ahli paling senior di dalam parti dan berada di saf hadapan parti. 

Selama 31 tahun saya menjadi Ketua UMNO Bahagian. Sudah 28 tahun saya memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi parti. Bahkan, saya juga antara yang terlibat menjadi penaja bagi UMNO (Baru) dan membina semula parti ini dari runtuhan akibat perebutan kuasa 1987.

Saya juga merupakan Ahli Seumur Hidup di mana nombor keahlian saya ialah 00000124 daripada lebih 3.5 juta ahli UMNO hari ini.

Hampir 20 tahun semasa parti berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara, saya redha di saf belakang penuh istiqamah dan kesetiaan. Selepas 10 tahun menjadi Menteri Belia dan Sukan, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, saya setia berada di bawah sebagai ADUN biasa dan Ahli Parlimen. Malah sejarah pertandingan saya berselang seli menang dan kalah, namun perjuangan saya di dalam parti tidak pernah kendur dan saya juga pantang berundur. 

Rakan-rakan saya ketika di dalam kabinet pada tahun1990 seperti Tun Mahathir, Pak Lah, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak, kini masing masing berada di medan yang berbeza. Dalam hal ini, saya bangga kerana saya masih tegak dan menumpahkan kesetiaan saya kepada perjuangan dengan parti UMNO sehingga ke hari ini. 

Dalam gelombang tsunami yang saya anggap maha dahsyat yang berlaku pada 14, ketika undi semua calon surut dan juga tewas, Alhamdulillah saya bukan saja mampu mempertahankan Parlimen Ketereh, malah berjaya juga menambah majoriti undi hampir lima kali ganda. Biarpun pencapaian itu menggembirakan hati saya, tetapi kegembiraan itu diatasi rasa sedih apabila melihat UMNO kehilangan kuasa. 

Dalam situasi begini, apakah saya harus lari selamatkan diri? Atau cari jalan senang untuk melepaskan beban kepimpinan? Atau terus berteori dan menuding jari?

Inilah persoalan-persoalan yang timbul dan saya mendapat jawapan jawapannya adalah TIDAK. Tidak mungkin saya melarikan diri atau menyelamatkan diri dari perjuangan ini.

Justeru, pada pemilihan kali ini, saya harus menawar diri untuk jawatan yang tidak saya fikirkan selama ini. Biarpun saya sedar dengan tindakan ini saya berada ditengah-tengah, antara duri-duri dan hadapan dan di belakangnya api.

Saya memilih untuk menjulang cogan kata BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.

Saya menolak BERPECAH, TIDAK SETIA DAN TIDAK BERKHIDMAT. 

Justeru saya menawar diri untuk membantu pucuk pimpinan/Presiden UMNO dalam usaha merekayasa semula parti ini sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, bumiputera dan Malaysia secara keseluruhannya. 

Tidak dapat tidak, merekayasa itu mesti melibatkan perubahan yang besar. Perubahan bukan semestinya pada individu,tetapi terpenting ialah pada dasar, organisasi, strategi dan juga modus operandi parti.

Saya komited untuk bekerjasama dengan Presiden dan Majlis Tertinggi untuk mempastikan perubahan di lakukan dengan penuh komitmen, cermat,tersusun dan bijaksana.

UMNO sebagai sebuah parti terbesar di parlimen mesti terus kekal berintegriti dan berwibawa,menjadi pembangkang yang berani, tegas dan tegar dalam membela Islam, bumiputera, kedaulatan Raja-Raja, perlembagaan dan juga keluhuran undang-undang.

Sementara roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahan namun pendekatan dan amalan yang ada selama ini wajib berubah. 

Konsep dan penyertaan di dalam Barisan Nasional perlu disemak semula, prinsip muafakat antara kaum perlu di perbaharui malah ke arah menjadi sebuah parti yang pragmatik dan tidak menolak sebarang cadangan dan pilihan yang menuju ke arah mencapai matlamat parti untuk membela Agama, Bangsa dan Tanahair.

Apa yg terpenting, semua perkara ini bakal daoat dilaksanakan dengan mandat yang diberikan oleh ahli parti secara bersama dan penuh kebijaksanaan. 

Sambil UMNO direkayasa dan terus diperkasa, pintu dan jendela kepimpinan harus dibuka luas pada para pewaris muda,kerana merekalah harapan kita agar Sang Saka Bangsa dapat terus dijulang oleh Sang Setia yang berjuang di dalam saf yang tersusun rapi, berakal panjang dan berakar tunjang. 

Untuk itu, saya pohon sokongan para perwakilan di 22,000 cawangan di seluruh negara untuk memberikan saya mandat.

Semoga mandat ini menjadi azimat buat diri saya untuk memgharungi sebuah perjuangan yang panjang dan penuh dengan cabaran. 

Membujur Lalu, Melintang Patah. 

Kepada Allah saya berserah. 



TAN SRI DATUK SERI ANNUAR HJ MUSA. 

Calon Nombor 2

TIMBALAN PRESIDEN UMNO MALAYSIA

Sumber

0 comments:

share2