Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 2, 2018

[CAMERON HIGHLANDS] FOKUS ISU KEBAJIKAN DAN BANTUAN PENDIDIKAN



Sivarraajh



Hampir tiga minggu menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen Cameron, Dato' Sivarraajh Chandran terus memberi fokus pada isu kebajikan penduduk dan bantuan pendidikan.

Beliau berkata, biarpun mengalami kesukaran dalam konteks sumber kewangan ekoran tiada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan namun itu bukan halangan untuk membantu penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, beliau berusaha dengan cara membantu dari segi memberi sokongan terhadap mana-mana permohonan anak-anak penduduk di sini bagi mendapatkan tempat di universiti.

“Kita sekarang telah menjadi pembangkang jadi secara tak langsung sumber kewangan jadi terhad dan agak sukar saya memberikan peruntukan kepada mereka yang memerlukan.

“Walaupun begitu, saya sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keperluan dan kebajikan penduduk di sini terbela,” katanya sempena Lawatan ke Bazar Ramadan Brinchang dan Tanah Rata, semalam.

Pada program itu, beliau turut mengagihkan 1,000 bungkusan bubur lambuk kepada pengunjung dan peniaga di sini.

Hadir sama Ketua Puteri Umno Cameron Highlands, Masliana Ahmad.

Dalam pada itu, Sivarraajh berkata, agihan bubur lambuk berkenaan bertujuan mendekati penduduk setempat serta merapatkan hubungan.

Tambahnya, usaha ini juga sebagai tanda penghargaan buat mereka yang mengundi BN dalam PRU14 yang lalu sekali gus membantu mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

“Ini adalah jelajah pertama saya setelah memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan penyerahan bubur lambuk percuma ini adalah untuk memuliakan bulan Ramadan serta menyantuni masyarakat Islam.

“Selain itu kita juga turut mengedarkan 1,000 bungkusan bubur lambuk kepada penduduk Orang Asli di beberapa kampung di sini serta mengenali penduduk tempatan dengan lebih dekat,” katanya.


0 comments:

share2