Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 7, 2018

[ROMPIN] ‘HARAP JADI CIKGU, ITU KEMAHUAN EMAK'



‘Harap jadi cikgu, itu kemahuan emak’



Walaupun peluangnya untuk menyambung pelajaran dalam pelbagai jurusan kemanusiaan terbuka luas namun bidang perguruan tetap menjadi pilihan bagi memenuhi harapan ibunya.

Demikian luahan Muhammad Amirul Baasit Zainal Abidin, 20, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2017 dengan mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92.

Beliau yang merupakan pelajarSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Rompin dan anak bongsu daripada tujuh beradik itu tidak akan mengecewakan harapan ibu yang bertungkus-lumus membesarkannya selepas kematian bapanya ketika beliau berusia 12 tahun.

Katanya, selepas kematian bapa, ibunya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Bandar Kuala Rompin bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Jika ikutkan cita-cita nak jadi arkitek tapi keputusan SPM dulu tak mengizinkan, jadi saya masuk tingkatan 6 dan emak mahu saya belajar rajin-rajin supaya jadi cikgu.

"Saya sasar nak mohon USM, UKM atau UPSI, tak kisah mana yang dapat asalkan bidang pendidikan," katanya ketika ditemui selepas penyerahan slip keputusan STPM di SMK Seri Rompin, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang berasal dari Sungai Puteri juga nekad mahu menyempurnakan hajat Allahyarham bapanya yang mahu mengubah suai rumah.

Katanya, bapanya telah siap membuat pelan namun tidak sempat membinanya kerana telah meninggal dunia.

"Sebelum meninggal ayah ada pesan kalau dah berjaya dia minta ubahsuai rumah, pelan yang dia buat ada saya simpan hingga sekarang," katanya.


0 comments:

share2