Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 6, 2018

[JERANTUT] NORHAFIZAH MAHU SEGERA SEMBUH, SAMBUNG PENGAJIAN


Norhafizah mahu segera sembuh, sambung pengajian



Kehilangan sebelah paru-paru dan enam tulang rusuk belah kanan tidak mematahkan semangat seorang anak peneroka Felda Sungai Retang untuk meneruskan hidup.Malah, penghidap kanser lemak tahap empat ini masih memasang cita-cita untuk menyambung pengajian kursus Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UITM) Raub yang tergendala dua tahun lalu.

Bagi Norhafizah Md Nor, 20, apa yang penting adalah melihat dirinya kembali sihat seperti sebelumnya.Bercerita lanjut tentang kanser yang dihidapinya, Norhafizah berkata, segalanya bermula dari batuk berpanjangan yang dihidapinya selama setahun pada 2015 ketika dia di tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak.

Katanya, dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan kemudiannya disahkan memiliki ketumbuhan sebesar buah anggur di bawah paru-parunya.

“Saya ditahan di hospital kerana demam yang teruk dan hasil pemeriksaan, doktor beritahu ada ketumbuhan. Namun ketika itu masih belum tahu ketumbuhan apa,” katanya yang terpaksa menjawab peperiksaan SPM di hospital ketika itu.

Menurutnya, pada Mac 2016, keadaan kesihatannya semakin teruk dengan masalah sesak nafas yang dihadapinya berikutan ketumbuhan yang semakin membesar lalu menolak paru-parunya ke atas.

Norhafizah kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian biopsi mengesahkan dia menghidap kanser lemak atau lipoma.

“Pada April tahun lalu, saya terus ditukarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan dan mendapati ketumbuhan itu sudah sebesar kepala.

“Doktor beritahu ketika pembedahan buang ketumbuhan itu, ia pecah. Tapi doktor dah sedut semua,” katanya.

Selepas pembedahan itu, Norhafizah kemudiannya telah mengikuti rawatan radioterapi sebanyak 33 kali bermula Julai sehingga September 2016.

“Segalanya baik sahaja sehinggalah Januari tahun lalu, saya tengok badan belah kanan saya lain. Macam senget dan ada biji kecil.

“Saya pergi rujuk doktor dan buat lagi sekali pemeriksaan. Doktor beritahu kanser itu dah merebak ke hati dan organ lain termasuk tulang rusuk dan saluran darah tersumbat. Dari tahap satu sebelumnya, ia sudah menjadi tahap empat,” katanya memberitahu, ketika itu dia berada di semester pertama pengajian, dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester.

Bermula dari itu, Norhafizah terpaksa berhenti dari meneruskan pengajian dan perlu melalui 11 kali kimoterapi dengan dua jenis ubat yang berbeza sehinggalah November tahun lalu, dia bersetuju menjalani pembedahan walaupun berisiko.

“Pembedahan berlangsung sebanyak dua kali, satu buang ketumbuhan dan satu lagi pembedahan plastik menggantikan tulang rusuk dan bahagian sebelah kanan yang hilang. Alhamdulillah kesihatan saya bertambah baik,” katanya yang sudah tidak sabar mahu menyambung kembali pengajiannya.

Kisah Norhafizah dikatakan mula tular di media sosial selepas salah seorang guru sekolahnya hadir melawatnya ketika berada di HKL.


0 comments:

share2