Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 1, 2017

[LIPIS] WARIS TERIMA PENCEN PENAKAT


Waris terima pencen penakat


Keluarga dua mangsa kemalangan jalan raya dari Kampung Kuala Medang di sini, bersyukur apabila menerima wang faedah pengurusan mayat (FPM) dan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Salmah Awang, 51, ibu kepada Allahyarham Wahadi Wahadat Rani, 23, dan Mohamad Abdah Talib, 51, bapa kepada Allahyarham Mohd Nasrul Mohamad Abdah, 25, masing-masing menerima wang faedah RM2,000 disampaikan Pegawai Skuad Perkeso Prihatin Bentong, Andi Momang Mohamad.

Kedua-dua waris juga layak menerima pencen penakat seumur hidup yang dibayar secara bulanan.

Dalam kejadian 18 Oktober lalu, kedua-dua mangsa maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar motosikal lain dari arah bertentangan di Kilometer 4 Jalan Sungai Koyan-Kuala Medang.

Kejadian kira-kira 10 malam itu menyebabkan Allahyarham Mohamad Nasrul dan Allahyarham Wahadi Wahadat meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala.

Salmah berkata, wang yang diterima itu akan digunakan bagi menggantikan kos perbelanjaan yang telah digunakan bagi pengurusan jenazah manakala pencen penakat akan dibelanjakan bagi membeli barangan keperluan harian.

“Sedih memang sedih sebab kehilangan anak tersayang tapi makcik reda dan percaya pada ketentuan ALLAH. Makcik juga tak sangka dapat pencen penakat ni dan ucapkan terima kasih pada pihak Perkeso yang prihatin,” katanya di Kampung Kuala Medang di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad Abdah berkata, wang FPM akan digunakan bagi menguruskan kenduri arwah manakala pencen penakat akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan adik-adik arwah.

“Ingat lagi sebelum arwah meninggal dunia dia menyerahkan gaji terakhirnya kepada pakcik untuk dibelanjakan bagi membeli barang dapur. Arwah juga sering menunjukkan kasih sayangnya terhadap adik-beradik lain seolah-olah tahu dia akan pergi jauh,” katanya.


0 comments:

share2