Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 5, 2017

[PEKAN] 737 SEKOLAH TERIMA BANTUAN


737 sekolah terima bantuan


Kementerian Pendidikan memperuntukkan lebih RM173 juta melalui peruntukkan bantuan persekolahan kepada murid di 737 buah sekolah di negeri ini untuk tahun 2017.

Bantuan itu memberi manfaat kepada 1,650,175 murid melalui tiga kategori iaitu bantuan umum (RM47 juta), bantuan khusus (RM107 juta) dan bantuan secara ‘one off’ (RM19 juta).

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Zainal Aalam Hassan berkata, bantuan yang disalurkan bagi memastikan murid dan pelajar sekolah di negeri ini memperoleh peluang dan akses pendidikan yang baik dan berkualiti seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2015.

Menurutnya, kerajaan juga prihatin terhadap pelajar berkeperluan khas justeru Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan diwujudkan pada 2013 bagi menyediakan peluang kepada golongan itu mempelajari bidang kemahiran.

“Ia sebagai persediaan untuk mereka berkerjaya dan berdepan cabaran alam pekerjaan.

“lebih membanggakan, sejak 2014 hingga 2016, 193 pelajar sekolah ini berjaya menerima Sijil Kemahiran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Jelajah pendidikan 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, kelmarin.

Menurutnya, kementerian juga prihatin dalam memastikan bangunan sekolah di negeri ini selamat untuk sesi pembelajaran justeru dalam Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan meluluskan sebuah projek baharu dan 83 projek sambungan dengan kos keseluruhan RM784 juta.

“Bagi projek pembangunan semula sekolah daif di semenanjung dalam bajet 2017, Pahang menerima peruntukkan RM5.5 juta bagi kerja-kerja pembaikan enam sekolah daif dan dua daripadanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemahang dan SK Pulau Rusa telah disiapkan,” katanya.

Zainal Aalam berkata, di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), SK Acheh di dipilih daripada 64 sekolah di sini bagi melaksanakan inisiatif My New School dengan peruntukkan RM5 juta.

“Projek itu kini dalam peringkat reka bentuk dan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya.

“Sekolah yang akan dinaiktarafkan ini bakal dilengkapi kemudahan yang menjadi hub komuniti bagi aktiviti sosial utama yang diperlukan 21,589 murid dan pelajar serta komuniti sekitar daerah Pekan,” katanya.


0 comments:

share2