Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 12, 2017

TUNKU SALLEHUDDIN DIMASYHUR SULTAN KEDAH BAHARU





Alor Setar – Raja Muda Kedah yang juga Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-29.

Baginda yang berumur 75 tahun, dinobatkan untuk menggantikan kakandanya, almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat dalam usia 89 tahun di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Pengumuman mengenai pemasyhuran baginda diisytiharkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam istiadat khas di Balai Penghadapan Baharu, di Istana Anak Bukit, sebelum pemakaman.

Sejurus pengisytiharan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, mengiring Tunku Sallehuddin untuk bersemayam di singgahsana.

Ia disusuli dengan laungan “Daulat Tuanku” oleh hadirin sebanyak tiga kali. Tunku Sallehuddin diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah.

Tunku Sallehuddin yang dibesarkan di Istana Anak Bukit dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah pada 15 Disember lalu. Baginda berkahwin dengan Tengku Maliha Tengku Ariff.

Sebelum ditabal sebagai Raja Muda Kedah, baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Allahyarham Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada Mei 2014.


0 comments:

share2