Alor Setar - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada usia 89 tahun di Istana Anak Bukit, pada 2.30 petang, hari ini.
Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang media khas di Wisma Darul Aman, pada jam 6.30 petang.
Menurutnya, jenazah Almarhum akan disembahyangkan pada Selasa (12 September) jam 10.30 pagi dan disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit sebagai istiadat penghormatan terakhir bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.
“Rakyat berpeluang memberi penghormatan terakhir bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala orang kenamaan bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.
“Jenazah akan dibawa melalui Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tun Razak dan seterusnya ke Makam DiRaja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, bendera negeri Kedah dan Persekutuan serta bendera-bendera lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula pada hari kemangkatan.
“Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 September 2017. Sepanjang waktu tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.
Menurutnya, Selasa (12 September) diisytiharkan sebagai cuti kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah, kecuali bagi pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), yang akan diadakan seperti biasa.
“Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat ALLAH SWT semoga roh Almarhum ditempatkan bersama para shuhadah dan solihin,” katanya.
Almarhum Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927, merupakan anakanda ketiga Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.
Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
Pada 1952, ketika Baginda masih bergelar Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim melanjutkan pengajian di Kolej Wadham, Oxford di London dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.
Baginda mengahwini Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dan dikurniakan tiga puteri, Tunku Soraya, Tunku Salina dan Tunku Puteri Intan Safinaz.
Sultanah Bahiyah mangkat pada 2003. Tuanku Abdul Halim mengahwini Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 dan diumumkan sebagai Sultanah Kedah baharu pada 9 Januari 2004 dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah.
Pemerintah baginda mencipta sejarah apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada tahun 2012, di mana kali pertama adalah pada tahun 1970.
Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 pada Disember tahun lalu sebelum digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
0 comments:
Post a Comment