Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 10, 2017

MANFAATKAN HUBUNGAN BAIK DENGAN NEGARA LUAR - PM


Image result for najib


Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan baik dengan negara luar dan tidak menjadi ‘katak di bawah tempurung’ serta enggan bekerjasama.

Perdana Menteri berkata, kemasukan pelaburan asing banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, sekali gus menunjukkan keyakinan dunia antarabangsa terhadap pentadbiran negara.

Dalam hal itu, kata beliau, rakyat tidak harus terpedaya dengan dakyah-dakyah yang dicanangkan pembangkang yang menuduh bahawa kemasukan pelaburan asing itu boleh disamakan dengan menjual kedaulatan negara, sedangkan mereka sendiri menyedari kepentingan pelaburan asing untuk kesejahteraan ekonomi.

“Hakikatnya, negara kita tidak boleh menjadi negara yang bagaikan katak di bawah tempurung dengan tidak mahu bekerjasama dengan dunia luar. Janganlah kita nafikan manfaat yang boleh diterima rakyat hasil daripada hubungan baik kerajaan dengan negara-negara luar.

“Sebenarnya, pemimpin-pemimpin pembangkang menyedari kepentingan pelaburan asing untuk kesejahteraan ekonomi, sebab itulah mereka juga giat ke luar negara. Kalau diikutkan ada pemimpin terdahulu yang kini sering menggunakan retorik ‘jual negara’ tetapi secara realitinya, banyak pinjaman dari negara luar yang telah dibuat semasa zamannya.

“Adakah ini bermakna kita telah menjual kedaulatan negara apabila menerima pinjaman pembangunan dari Jepun sebanyak 61.5 bilion yen untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 1994? Tidak sama sekali! Oleh itu, saya harap masyarakat kita tidak termakan dengan politik kotor tidak objektif dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Ini hanya akan merugikan kita,” katanya menerusi blog beliau, najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pencapaian terbaik negara dalam sektor perdagangan tidak terjadi sekelip mata, sebaliknya ia merupakan hasil usaha, kerja keras dan titik peluh kerajaan dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Justeru, beliau berharap, lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat (AS), berjalan lancar serta membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia baru-baru ini mencipta sejarah dengan merekodkan kenaikan 24.3 peratus dalam sektor perdagangan kepada RM430.5 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala nilai eksport mencecah RM82.63 bilion pada Mac lalu, angka bulanan tertinggi yang pernah dicapai bagi eksport negara.

Beliau menarik perhatian, hasil hubungan baik dengan negara China telah memberikan banyak manfaat kepada negara apabila dibenarkan untuk mengeksport sarang burung mentah ke negara tersebut yang telah memanfaatkan lebih kurang 10,000 petani selain telah menambahkan pembelian minyak sawit dari Malaysia sekali gus mencatatkan peningkatan 53.6 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir tahun lalu.

Kata beliau, kerajaan juga telah berjaya membuka pintu kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan syarikat dari China dengan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan nilai lebih daripada RM175 bilion.

Beliau menambah, banyak syarikat negara ini aktif membida projek-projek pembangunan di India, lebih-lebih lagi selepas enam MoU ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan Malaysia dan pemain industri di negara itu dan telah berjaya menandatangani MoU bernilai lebih RM158 bilion semasa lawatan beliau ke negara berkenaan pada April tahun lalu.

“Pendekatan kita yang mengetengahkan kesederhanaan juga membuatkan Malaysia diterima baik di negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan Jerman yang mana hasil kerjasama dan hubungan baik ini ternyata telah menguntungkan negara.

“Perjanjian dengan Aramco membawa jumlah pelaburan sebanyak RM31 bilion dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun telah mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. Kita telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Jepun dengan dagangan dua hala bernilai RM120 bilion bagi tahun 2016,” katanya.

Perdana Menteri turut memberitahu berhubung kedudukan negara dalam ASEAN telah banyak memberikan keuntungan seperti melalui Komuniti Ekonomi ASEAN, selain berpeluang membuat kerjasama strategik dengan Indonesia dalam sektor kelapa sawit khususnya dalam menghadapi kempen antisawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah.

“Apa yang disenaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada manfaat yang kita terima hasil daripada hubungan baik dengan negara-negara lain. Insya-Allah, usaha-usaha untuk membina hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan negara luar ini akan saya teruskan, malah lebih komited dalam membawa harapan serta kepentingan rakyat Malaysia di mata dunia,” katanya.


0 comments:

share2