Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 27, 2017

[KUANTAN] TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG


Tinggal sehelai sepinggang


Gara-gara terlupa menutup api selepas memasak untuk makan malam, dua nelayan tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang disewa mereka di Pangsapuri Kampung Selamat, di sini musnah dalam kebakaran petang kelmarin.

Kebakaran yang didakwa berpunca dari kecuaian dua nelayan terbabit berlaku kira-kira jam 6.27 petang disedari penduduk di tingkat dua selepas melihat kepulan asap menjulang.

Malah, ketika kejadian, kedua-dua penyewa tiada di rumah dan dikatakan telah keluar ke laut menangkap ikan.

Pemilik rumah itu yang mahu dikenali sebagai Wong, 60, berkata penduduk di pangsapuri tersebut telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan untuk meminta bantuan, sebelum memaklumkan kepadanya.

Menurutnya, pada jam 6.30 petang hari kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada jirannya dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan rumah pusaka milik keluarganya.

“Rumah ini saya sewakan kepada dua nelayan tempatan dengan bayaran RM500 sebulan dan ketika kejadian mereka dipercayai memasak namun terlupa menutup api sebelum dipercayai berlaku letupan kecil,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri itu, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia sendiri tidak dapat memastikan jumlah kerugian sebenar dan akan menyerahkan kes itu kepada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuat siasatan bagi mengenal pasti jumlah kerugian sebenar.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bergegas ke lokasi kejadian bersama satu jentera untuk mengawal kebakaran.

Menurutnya, pihaknya tidak mengambil masa yang sama untuk memadamkan api dan tiada kemalangan nyawa dilaporkan.

“Pasukan Unit Forensik JBPM sudah ke tempat kejadian hari ini (semalam) untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


0 comments:

share2