Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 13, 2017

[ROMPIN] IBU TUNGGAL BERSYUKUR DIPILIH DAPAT TUNAI HAJI


Ibu tunggal bersyukur dipilih dapat tunai haji


Dalam keadaan ada ketika wang simpanan Tabung Haji (TH) terpaksa dikeluarkan untuk perbelanjaan anak sekolah, seorang ibu tunggal bersyukur akhirnya dipilih menunaikan haji tahun ini.

Penduduk Kampung Sungai Meranti, Zaiton A Rahman, 59, berkata, selepas suami pertama dan kedua meninggal dunia, beliau membesarkan empat anak seorang diri.

Beliau yang merupakan ahli Unit Peladang Sungai Meranti itu bersyukur dapat menempuh kesukaran itu dan kesemua anak-anaknya kini sudah dewasa serta boleh berbakti kepadanya pula.

"Bila fikir semula pada ketika itu wang simpanan tabung terpaksa diambil, kemudian perlu simpan semula dan keadaan begitu berlarutan demi belanja anak-anak hingga mereka dewasa, alhamdulillah ada jalannya ia penuh semula.

"Lepas dapat surat maklum dapat pergi haji hujung tahun lalu, rasa bersyukur sangat, dari tiada wang ketika mula buka akaun akhirnya sudah ada dan kini terpilih pula untuk pergi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin yang bakal menunaikan haji tahun ini pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2017, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Rompin, Dato' Sri Hasan Arifin, Adun Muadzam Shah, Dato' Sri Maznah Mazlan, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Sawalludin Ahmad dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Rompin, Dato' Md Rusli Ismail.

Membuka akaun Tabung Haji sekitar 2000 dan mendaftar haji pada 2007, Zaiton telah lama berniat untuk pergi walaupun dalam keadaan wang masih tiada.

"Sepanjang tempoh menunggu banyak kali makcik pergi kursus, hinggakan setiap perubahan berkaitan cara menunaikan haji itu makcik tahu, cuma bezanya, tahun ini makcik kursus untuk betul-betul pergi haji," katanya.

Seorang lagi penerima, Nyawati Abd Jalil, 57, bersyukur dipilih menunaikan haji pada tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada yang dijangkakan.

"Saya buka akaun dari tahun 90an tetapi tak daftar haji sebab ingatkan bila simpanan dah penuh automatik layak untuk pergi, bila pergi pejabat Tabung Haji mereka kata kena daftar dulu, jadi tahun 2007 baru daftar.

"Lepas 10 tahun dipilih juga untuk pergi, terkejut dapat surat hujung tahun lalu kerana terpilih, saya syukur sangat, mungkin berkat doa ketika saya pergi umrah pada 2015," katanya.


0 comments:

share2