Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 16, 2017

[KUANTAN] DERITA KENCING MANIS, STROK


Derita kencing manis, strok


Keadaan sebuah keluarga di Kampung Seri Mahkota, di sini terpaksa hidup dalam serba kekurangan selepas dua ahli keluarga itu menghidap penyakit kencing manis kronik.

Disebabkan penyakit dihidapi mereka, satu jari kanan ketua keluarga, Ismail Abdullah, 63, dan anaknya, Nor Hakimaton Ismail, 43, terpaksa dipotong serta memerlukan penjagaan rapi.

Lebih menyedihkan, suami Nor Hakimaton, Kamaruzaman Jaafar, 48, pula diserang strok, mengakibatkan sebelah kanan badannya lumpuh sejak dua bulan lalu.

Kamaruzaman yang bekerja sebagai pemotong rumput kini tidak mampu lagi keluar mencari rezeki.

Nor Hakimaton berkata, dia terpaksa menumpang di rumah bapanya sejak sakit, tambahan pula Ismail tinggal sendirian.

“Buat masa ini kami terpaksa bergantung pada ihsan keluarga dan dua anak yang bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Lawatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail, semalam.

Turut serta, Adun Lepar, Datuk Sohaimi Jusoh dan Pengarah JKM Pahang, Zulkhairil Zainol Abidin.

Nor Hakimaton berkata, anak bongsunya, Amirul Hakim, 14, diberhentikan sekolah kerana sering tidak hadir kerana menjaganya.

Katanya, anaknya itu masih berminat mahu meneruskan persekolahan jika diberi peluang.

Sementara itu, Abdul Manan berkata , pihaknya akan memastikan JKM memberikan bantuan bulanan kepada Ismail bagi meringankan beban mereka.

Selain itu katanya, keadaan rumah keluarga itu uzur termasuk atap bocor teruk dan pihaknya akan membantu membaikinya secara gotong-royong.

“Saya akan pastikan bantuan segera diberikan kepada keluarga memandangkan banyak masalah yang dialami mereka,” katanya.


0 comments:

share2